MARANG - Umno Terengganu masih menaruh keyakinan tinggi bahawa parti itu mampu untuk merampas semula negeri ini dalam PRU15.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau yakin berdasarkan pengalaman dan senario politik lalu yang memperlihatkan sebahagian besar rakyat kembali memilih Umno apabila berada dalam keadaan tertekan.
Iklan
Iklan
"Pada tahun 1999 kita kalah kerana isu Anwar Ibrahim, kemudian 2004 kita bangkit semula dan tumbang 2018 kerana janji-janji palsu PH yang menyebabkan BN turut hilang kuasa tampuk pemerintahan negara sehingga rakyat berada dalam keadaan sengsara.
"Ekoran itu, saya percaya Umno akan kembali bangkit sekiranya setiap ahli di peringkat akar umbi terus bersatu,” katanya selepas program Umno Bangkit di Akar Umbi, di sini.
Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.
Ahmad berkata, pengundi di negeri ini hanya mempunyai dua pilihan sama ada memilih Umno atau Pas pada PRU15 dengan mengharapkan tidak memilih PH kerana menyifatkan ia tidak membawa keuntungan pada orang Islam.
"Bagi negeri Pantai Barat pula BN dan Pas boleh mengguna pakai formula PRK Parlimen Cameron Highlands dan PRK Dun Semenyih sekiranya mahu menumbangkan PH daripada terus menerajui tampuk pemerintahan negara,” katanya.