UCAPAN oleh Datuk Seri Nazir Tun Abdul Razak pada Program Kepimpinan Alumni Chevening pada 16 November 2020:
1. Terima kasih kepada Chevening Alumni Malaysia kerana kembali menjemput saya ke acara ini. Pada kali ini, saya berfikir bahawa saya perlu mengambil risiko dan bercakap dengan anda semua mengenai suatu hasrat yang saya harap turut dikongsikan oleh anda semua iaitu 'Membina Malaysia yang lebih baik'.
2. Bagi mereka yang tidak tahu berkenaan latar belakang saya, izinkan saya meringkaskan terlebih dahulu berkenaan kerjaya saya. Saya menyertai CIMB pada tahun 1989, sejurus selepas memperoleh gelaran dan sarjana di United Kingdom.
Saya mula memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group pada 1999 sehingga 2014 di mana CIMB berkembang secara pesat daripada sebuah bank saudagar kecil tempatan kepada bank universal ASEAN, dan kemudian saya menjadi Pengerusi CIMB bermula 2014 sehingga 2018.
Pada masa tersebut, saya juga berkhidmat sebagai ahli panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 12 tahun dan di Khazanah selama empat tahun dan menghabiskan sembilan bulan sebagai Felo Chevening di Pusat Pengajian Islam Oxford.
Sejak 2018, saya telah menjadi Pengerusi dan Pengasas Ikhlas Capital, sebuah firma Ekuiti Swasta ASEAN.
Pada tahun 2019, saya juga merupakan Felo Pelawat di Blavatnik School of Government, Universiti Oxford di mana saya memberi tumpuan kepada pembinaan semula negara bangsa (Nationhood Recalibration) dengan melihat kepada prasyarat untuk pembaharuan sistemik di Indonesia selepas Krisis Kewangan Asia, Malaysia selepas 13 Mei dan yang berkaitan dengannya.
Oleh sebab itu, boleh dikatakan bahawa saya berada di kerusi hadapan dalam perjalanan ekonomi Malaysia selama lebih daripada 30 tahun.
3. Setiap kali ditanya mengenai ekonomi Malaysia, saya sering mengatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai ekonomi, ia hanya mempunyai ekonomi politik.
Sebagai seorang pelajar sarjana muda, saya belajar Ekonomi dan Politik tetapi saya tidak pernah menjangkakan sejauh mana kedua perkara ini saling berkaitan di Malaysia.
Kita mempunyai unsur kawalan ekonomi yang luas namun kita bersikap seolah-olah sebagai sebuah negara yang mengamalkan pasaran kapitalis bebas. Amat berbahaya untuk berpura-pura menjadi sesuatu yang bukan diri anda.
4. Kerajaan mempunyai peranan yang besar dalam ekonomi Malaysia. Daripada legasi pemberian lesen dan kuota yang berasal dari British, agensi pembangunan negeri dan peraturan tindakan afirmatif tahun 1970-an, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang merangkumi sekitar 40 peratus daripada keseluruhan jumlah permodalan pasaran dana pelaburan Bursa dan Kerajaan yang menguasai pasaran modal.
Ia termasuk amalan politik wang yang berleluasa yang sering mempengaruhi keputusan terhadap peraturan kerajaan, dasar, perolehan dan tindakan GLC.
5. Ia memerlukan pengalaman barisan depan dan mereka yang berada di luar untuk memahami sepenuhnya penyimpangan dan kerosakan yang telah berlaku.
Semasa saya berada di tahap tertinggi dengan karier saya di CIMB, saya fikir saya mempunyai kompas moral yang cukup baik tetapi saya adalah pelakon yang rela untuk berada di dalam sistem ini.
Kadang-kala, apabila sesuatu yang berlaku itu bertentangan dengan prinsip moral yang saya pegang, saya akan menyuarakan ketidaksenangan saya terhadap perkara tersebut namun selalunya saya lebih kerap mengatakan bahawa itu bukan urusan saya. Kebanyakan daripada kita yang bekerja di dalam sistem ini akan bersikap sedemikian.
Tekanan yang saya hadapi semasa saya bersuara dan berkempen menentang salah laku di 1MDB dan Felda adalah sangat kuat.
Saya tidak akan bercerita dengan lebih lanjut berkenaan dengan perkara tersebut tetapi cukup untuk saya mengatakan bahawa pemusatan kuasa yang terlalu berlebihan di pejabat Perdana Menteri telah menyebabkan kerosakan yang sistemik ekoran daripada kurangnya aspek pertanggungjawapan dan prinsip semak dan imbang dalam proses membuat keputusan.
6. Beberapa gejala kerosakan yang dapat saya kongsi dari pengalaman saya sendiri:-
a.1MDB adalah manifestasi yang paling jelas. Sebuah institusi dana kekayaan berdaulat dengan sokongan pemerintah digunakan untuk mengumpulkan jutaan dolar untuk projek pembangunan dan dana politik. Di sepanjang proses tersebut, terjadi kebocoran dana yang besar untuk tujuan yang keji.
b. Skandal kewangan moden yang pertama adalah skandal BMF pada awal 1980-an apabila anak syarikat Bank Bumiputra meminjamkan berbilion ringgit kepada pemaju hartanah Hong Kong tanpa jaminan atau kelulusan yang sewajarnya dan sekali lagi dengan mengalihkan sejumlah wang; ramai yang mempercayai ia berkaitan dengan aktiviti politik di Malaysia.
c. Banyak urus janji yang lebih kecil yang menambahkan lagi kepada sebuah jumlah yang besar. Pada awal tahun 1990-an saya adalah pegawai muda CIMB yang bertanggungjawab ke atas IPO (tawaran awam permulaan) untuk menyenaraikan syarikat di bursa saham.
Hampir setiap kes melibatkan peruntukan saham khas kepada bumiputera atas nama Dasar Ekonomi Baru (DEB) namun tidak pernah ada proses yang jelas dan konsisten untuk memilih siapa yang akan mendapat saham (yang menguntungkan kerana harga IPO ketika itu dikendalikan oleh pemerintah dan ditetapkan rendah untuk memastikan pembeli memperoleh jumlah wang yang baik).
Selalunya, mereka yang mempunyai hubungan politik akan mendapat akses terbaik untuk berkongsi peruntukan yang ada; jadi daripada mengagihkan kekayaan kepada golongan bumiputera yang memerlukan atau yang mampu memberikan nilai tambah, banyak wang masuk ke kawah politik yang tentunya sangat menyimpang daripada tujuan asal.
d. Pada pertengahan tahun 1980-an, model khas jutawan bumiputera yang sedang berkembang muncul atas nama DEB, di mana kerajaan akan menyokong individu yang dipilih secara politik untuk menjadi ahli perniagaan. Sokongan pemerintah termasuk bagi pinjaman bersasar di bawah bank yang dikawal selia.
Model ini berkembang dengan pesat apabila sejumlah besar modal asing masuk ke pasaran saham negara pada awal tahun 1990-an; dan menerima impak yang teruk dalam Krisis Kewangan Asia. Melihat kembali kepada perkara tersebut, mengapakah kita fikir yang ahli politik berhak untuk memilih peniaga mengikut kehendak mereka? Apakah asas yang menyebabkan kita berfikir bahawa menyediakan akses yang mudah kepada para peniaga yang memiliki hubungan tertentu kepada modal tersebut mampu membina sebuah perniagaan yang kukuh.
Sebilangan besar syarikat yang saya maksudkan ini telah lenyap bersama hutang mereka dan ada juga yang telah dimiliknegarakan untuk menjadi GLC hari ini.
Tahap penguasaan pemerintah dalam ekonomi masih tidak berubah selepas Krisis Kewangan Asia, hubungan korporat antara kerajaan dan perniagaan utama masih sama. Perbezaannya ialah individu yang dipilih secara politik digantikan oleh pengurus profesional tetapi para profesional juga akhirnya melaporkan kepada tuan politik yang sama.
7. Saya tidak mengkritik sistem yang diterapkan susulan daripada rusuhan 13 Mei 1969. Saya merasakan adanya keperluan untuk melakukan sebuah perubahan sistemik yang besar - penglibatan pemerintah yang lebih besar dalam ekonomi, tindakan afirmatif untuk bumiputera, pindaan undang-undang hasutan, Rukun Negara dan pembentukan gabungan parti besar (Barisan Nasional) untuk mentadbir negara ini.
Kesemua aspek ini berkeupayaan untuk mengukuhkan keamanan, kestabilan dan merekodkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan ekuiti yang lebih besar di samping pengurangan kemiskinan secara drastik.
8. Perancang sistem yang baharu ini bagaimanapun mengakui bahawa mereka melakukan inovasi disebabkan keterdesakan dan mereka percaya bahawa sistem itu perlu dikaji dari masa ke masa.
Dalam hal DEB pun, terdapat jangka waktu yang telah ditetapkan iaitu 20 tahun untuk membasmi kemiskinan dan memperbaiki keseimbangan ekonomi antara kaum yang dilihat sebagai prasyarat untuk kemunculan sebuah negara Malaysia.
9. Sekarang sudah lebih 50 tahun ia dilaksanakan, sistem yang dirancang tahun 1970 tetap ada. Ia didokong oleh kepentingan bangsa dan agama dapat digunakan sebagai pembela. Kini ia dipenuhi dengan norma-norma yang berkompromi atau benar-benar korup.
Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail, perancang utama sistem yang ini menyedari peningkatan risiko rasuah tetapi mereka mempercayai individu yang didorong oleh misi negara kita dan tidak melakukannya untuk kepentingan diri.
Sebenarnya gejala korupsi ini telah menyusup sejak dari awal lagi namun ia menjadi lebih parah pada tahun 1980-an ketika persaingan untuk mendapatkan kedudukan politik dan harta benda dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin diutamakan daripada pembangunan bangsa.
10. Sistem ini tidak lagi sesuai untuk tujuan asalnya dan Malaysia sangat memerlukan penetapan semula sistem yang lain. Saya akan menyerahkan kepada para sejarawan untuk berdebat mengenai bila dan mengapakah sistem ini merosot tetapi sejak Krisis Kewangan Asia pada akhir tahun 1990-an, negara telah mengalami kemerosotan ekonomi dengan masyarakat yang semakin berpecah, kehilangan bakat terbaik yang negara ada serta semakin ketinggalan bagi menarik pelaburan asing berbanding negara-negara yang baru muncul seperti Indonesia dan Vietnam.
Revolusi Perindustrian keempat hanya akan menambahkan impak negatif kepada ekonomi negara tidak memanfaatkan bakat terbaik mereka dan berjuang untuk menarik pelaburan berkualiti serta menangguhkan kepentingan dan jawatan, di mana aspek inovasi dan keusahawanan telah dihambat.
11. Ketika PH berkuasa pada 2018, banyak pihak termasuk saya berharap mereka dapat meneruskan agenda reformasi seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya mereka tetapi mereka melakukannya dengan sedikit sekali, bahkan tidak dapat melaksanakan pengiktirafan UEC (Unified Examination Certificate) atau menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum; dua inisiatif pembaharuan yang mereka janjikan.
Sementara tempoh akhir penguasaan BN benar-benar dirayakan sebagai kemenangan demokrasi, tidak ada jaminan bahawa demokrasi yang lebih stabil akan muncul. Ahli sains politik dalam kalangan anda mungkin menunjukkan bahawa bahan akademik mengenai masyarakat majmuk meramalkan sebaliknya.
Sesungguhnya, kejatuhan pemerintahan PH setelah 22 bulan dan kerapuhan PN (Perikatan Nasional), sebagai penggantinya, tidak memberikan tanda-tanda yang cukup meyakinkan.