KUALA NERUS - Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan kawasan Taman Murni Permai di Tok Jembal di sini dinaiki air bermula jam 7.15 malam tadi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, penduduk sudah mula menyimpan barang sebagai langkah persediaan apabila beberapa laluan di taman itu dan kediaman penduduk sudah mula dinaiki air.
Sehingga jam 7.30 pagi ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan Balairaya Alor Damat telah dibuka bagi menempatkan seramai 151 mangsa daripada 46 keluarga.
Kesemua mangsa mula dipindahkan kira-kira jam 10 malam tadi ekoran air semakin naik.
Seorang penduduk, Azman Sulong, 40, ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila melihat kediamannya sudah dinaiki air apabila pula dari tempat kerjanya kira-kira jam 6. 15 petang semalam.
"Kawasan ini memang sering dinaiki air tetapi kali ini air naik dengan cepat. Saya sendiri tidak sempat nak alihkan motosikal sebab air naik secara mendadak," katanya yang bekerja sebagai mekanik.
Manakala Mohd Daud Yaacob, 60, berkata, kawasan perumahan itu memang akan dinaiki air jika hujan berterusan lebih dua jam.
"Kami di sini sudah biasa dengan banjir dan memang sentiasa bersedia. Kalau hujan lebat tak berhenti, memang kita buat persiapan. Paling teruk berlaku pada 2014 apabila air mencecah sehingga paras paha," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu kembali dilanda banjir
Empat sungai di Terengganu lepasi paras bahaya