PUTRAJAYA - Tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) babi dikesan dalam sampel daging yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa susulan rakaman video yang mendakwa mi kari mengandungi daging babi yang dihidangkan oleh sebuah restoran.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, hanya DNA ayam yang ditemui dalam sampel berkenaan.
"Melalui keputusan analisa terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, KPDNHEP akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa patuh terhadap perundangan yang telah ditetapkan.
"Pemantauan itu bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan kelulusan yang diberikan dengan maksud berselindung dan mengaburi pengguna melalui kelulusan terbabit," katanya.
Beliau berkata, KPDNHEP menyeru kepada pengguna agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu yang tidak sahih melalui laman media sosial.
"Tindakan itu boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan," katanya.
Iskandar berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat atau menyemak berkaitan dengan isu halal oleh pihak pengusaha makanan dan minuman disarankan supaya menghubungi talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 atau melalui web KPDNHEP atau bole juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
Pada 14 November lalu, KPDNHEP Selangor menyerbu beberapa cawangan restoran terbabit yang didakwa menyajikan mi kari disyaki mengandungi daging babi.
ARTIKEL BERKAITAN: Restoran didakwa hidang mi kari mengandungi daging babi diserbu
Oldtown White Coffee nafi produk mengandungi daging babi