IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Chepor, Kampung Chepor Dalam di sini hari ini.
Kejadian difahamkan berlaku ketika mangsa mahu menyelamatkan rakannya yang terjatuh ketika mahu mengambil selipar sebelum hanyut dibawa arus.
Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz yang mengesahkan kejadian memaklumkan kejadian berlaku jam 10.30 pagi tadi.
Menurutnya, mangsa Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang di sini.
"Setakat ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan pasukan menyelamat dengan kekuatan anggota sebanyak 56 orang.
"Kita harap semua agensi dapat menumpukan usaha mencari dan menyelamat ini," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat lokasi kejadian di sini hari ini.
Dalam pada itu, A Asmadi menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana sekolah tidak beroperasi.
Menurutnya, ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak berada di lokasi berbahaya seperti di tepi sungai dan sebagainya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Yunus Abu berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.47 pagi.
Menurutnya, seramai 30 anggota dari BBP Meru Raya, BBP Ipoh, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan JBPM Perak digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Kita difahamkan ada saksi yang melihat mangsa dihanyutkan air dan operasi pencarian dilakukan secara permukaan di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat di Sungai Chepor.
"Sungai Chepor ini bersambung dengan Sungai Pari dan pencarian juga diperluaskan sehingga 2 kilometer (km) di sepanjang Sungai Pari," katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam operasi pencarian di sini hari ini.
Yunus dalam pada itu mengakui usaha mencari mangsa berdepan cabaran arus sungai deras serta keadaan cuaca tidak menentu yang boleh mendatangkan bahaya kepada anggota penyelamat.
Katanya, pencarian dilakukan menggunakan bot milik jabatan itu di sekitar kawasan mangsa dipercayai jatuh dalam jarak kira-kira 2 km di Sungai Pari memandangkan terdapat empangan tebatan banjir di kawasan itu.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menggerakkan anggota dari BBP Pasir Puteh dan BBP Batu Gajah untuk membuat pencarian di bawah kawasan empangan ini melalui jalan-jalan berhampiran dengan sungai.
Jelasnya, pencarian akan diteruskan dan mungkin ditangguhkan seketika jika keadaan cuaca tidak mengizinkan.