Biden calonkan wanita ketuai Perbendaharaan AS

Iklan
Avril Haines turut dicalonkan sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat. - Foto AFP

WASHINGTON - Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mencalonkan bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen sebagai Setiausaha Perbendaharaan negara tersebut sekali gus menjadi wanita pertama memegang jawatan itu jika pemilihan itu diluluskan oleh Dewan Senat AS.

Pemilihan Yellen yang berusia 74 tahun telah disahkan oleh AFP menerusi satu sumber rapat dengan pentadbiran Biden dengan tanggungjawabnya adalah memandu arah kuasa terbesar ekonomi negara tersebut ketika ia berdepan dengan masalah pembuangan pekerja besar-besaran akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Yellen akan menjadi Setiausaha Perbendaharaan yang seterusnya," kata sumber tersebut sekali gus mengesahkan berita yang dilaporkan oleh akhbar The Wall Street Journal.

Pencalonan Yellen disokong oleh anggota-anggota parti Demokrat yang berhaluan kiri, menurut sumber tersebut dan pelantikannya itu memerlukan kelulusan daripada Dewan Senat.

Iklan
Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen dicalonkan sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat. - Foto AFP

Yellen memecahkan halangan apabila pada tahun 2014, Presiden AS ketika itu, Barack Obama mencalonkannya sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan tetapi Presiden, Donald Trump menamatkan perkhidmatannya empat tahun kemudian.

Ketika mengetuai Rizab Persekutuan, beliau dilihat condong kepada pelaksanaan kadar bunga yang rendah sebagai cara untuk menyokong pekerjaan.

Iklan

Biden yang akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden pada 20 Januari tahun depan turut mencalonkan seorang lagi wanita, Avril Haines, 51, iaitu bekas pegawai kanan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan timbalan penasihat keselamatan kebangsaan sebagai Pengarah Perisikan Kebangsaan.

Haines akan mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan sebagai Pengarah Perisikan itu jika pencalonannya disahkan oleh Dewan Senat AS.

Biden juga mencalonkan rakyat AS yang dilahirkan di Cuba, Alejandro Mayorkas, 61, untuk mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan merupakan penduduk pertama berketurunan Latin bakal memegang jawatan itu jika Dewan Senat meluluskan pelantikannya.

Mayorkas sebelum ini ialah bekas Timbalan Setiausaha jabatan tersebut pada era Obama menjadi Presiden selain pernah memegang jawatan pendakwa raya persekutuan.

Bekas Setiausaha Negara AS, John Kerry, 76, turut dinamakan oleh Biden yang juga bekas Naib Presiden AS ketika di bawah pentadbiran Obama sebagai Utusan Khas Perubahan Iklim Dunia.

Kerry sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Negara dari tahun 2013 hingga 2017 di bawah pentabiran Obama dan membantu merealisasikan Perjanjian Paris bagi mengurangkan suhu dunia.

Biden turut mencalonkan penasihat dasar luar, Antony Blinken, 58, sebagai Setiausaha Negara.

Beliau juga menyatakan bahawa seorang wanita yang juga diplomat, Linda Thomas-Greenfield, 68, dicalonkan untuk memegang jawatan sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan status sebagai anggota Kabinet.

Dalam pada itu, Biden turut melantik seorang pembantu keselamatannya semasa beliau menjadi Naib Presiden, Jake Sullivan sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih. - Agensi