BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditahan kira-kira 72 jam selepas dia mencuri seekor anjing baka Pit Bull dan empat 'sport rim' motosikal jenis Yamaha LC135 di kandang ternakan berhampiran sebuah kuil di Kampung Paya, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan di Kuarters PPC di Bagan Ajam, di sini dalam Ops Cantas pada jam 11 malam.
Menurutnya, polis berjaya merampas kembali anjing dan sepasang 'sport rim' daripada suspek ketika menahannya.
"Suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau mengakui melakukan jenayah tersebut.
"Dia kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya ketika dihubungi tadi.
Sabtu lalu, seorang suri rumah berusia 39 tahun membuat laporan polis berhubung kehilangan anjingnya yang diletakkan di dalam sangkar kayu selain empat buah 'sport rim' motosikal hilang.
Noorzainy berkata, mangsa kali terakhir melihat anjingnya itu yang dipasang rantai pada jam 6 petang, Jumaat lalu.
"Pada keesokan harinya, kira-kira jam 2 petang, wanita itu mendapati anjing yang dibelanya sejak dua tahun lalu serta makanannya hilang dari sangkar. Bagaimanapun, rantai yang mengikat anjing tersebut dibuka dan bukan dipotong.
"Sementara itu, empat buah 'sport rim' yang hilang pula diletakkan di dalam pondok terbuka yang terletak dalam kandang ternakan tersebut," katanya.
Tambahnya, anjing tersebut dipelihara untuk menjaga ternakan lain di kandang tersebut sejak setahun lalu.
"Kandang tersebut tidak berpagar dan merupakan kawasan terbuka selain ia tidak mempunyai pengawal dan kamera litar tertutup.
"Tiada saksi yang tampil memberikan keterangan berkaitan kejadian," katanya.
Norzainy berkata, mangsa mempunyai lesen yang sah untuk memelihara anjing tersebut.
Anjing baka Pit Bull dikategorikan sebagai salah satu baka anjing paling berbahaya.