KUALA LUMPUR - Seorang peguam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan bersubahat dengan seorang individu untuk memalsukan dokumen berhubung jual beli hartanah tiga tahun lalu.
M Pathmarajah, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Kesemua pertuduhan itu membabitkan sembilan dokumen antaranya, Perjanjian Jual Beli, Surat Kuasa Jualan dan Perjanjian Belian, Surat Kuasa Pelepasan Baki Harga Jualan dan Surat Pengesahan Pelepasan Deposit 10 peratus Harga Jualan yang digunakan dengan niat untuk menipu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields di sini antara September 2017 hingga Mac 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hajar Hamzah menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali sebulan bagi kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk C Vignesh Kumar dan Danial Annamalai, memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi selain masih menanggung isteri dan tiga anaknya yang masih belajar.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes. - Bernama