KAJANG - Seramai 141 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Imigresen di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Plaza Hentian Kajang di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Mohamad Fauzi Md Isa berkata, keseluruhan yang diperiksa seramai 2,600 orang termasuk 1,900 warga asing.
"Hasil daripada pemeriksaan itu, kita menahan 65 warga Indonesia, 59 Myanmar, sembilan Nepal dan lapan warganegara lain.
"Kesemua yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa, tiada dokumen dan salah guna visa," katanya pada sidang akhbar di lokasi PKPD Plaza Hentian Kajang di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan itu berusia antara setahun hingga 50 tahun.
"Kita menahan 77 lelaki, 58 wanita dan enam kanak-kanak dalam operasi ini," katanya.
Fauzi berkata, operasi tersebut dijalankan bersama agensi berkaitan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
"Kesemua yang ditahan itu akan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) (C) dan Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1956/63," katanya.
Fauzi turut memaklumkan seramai 34,649 Pati ditahan dalam 6,347 operasi yang telah dilaksanakan sejak 1 Januari hingga 23 November lalu.