KULAI - Kerajaan Persekutuan diminta membantu lebih 2,000 pengusaha bas membabitkan lebih 4,000 kenderaan di Johor yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, R Thiagarajan berkata, mereka menerima kesan yang teruk lebih-lebih lagi sempadan Malaysia-Singapura masih belum dibuka sepenuhnya.
"Jika dahulu pengusaha bas persiaran mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM30,000 sebulan manakala pengusaha bas kilang memperoleh RM8,000 sebulan, kini mereka tak mampu bergerak dan tiada pendapatan langsung.
"Keadaan semakin mencabar lebih-lebih lagi pemandu bas yang mempunyai tanggungan. Lompat bidang bukan semudah yang dikata, ramai tidak mampu bertahan lama dalam bidang baharu yang diceburi," katanya pada sidang akhbar di Taman Kulai Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Thiagarajan berkata, antara masalah paling membebankan adalah tidak dapat melunaskan hutang dengan syarikat pinjaman kredit malah terdapat bas-bas yang sudah ditarik kerana gagal membuat bayaran bulanan.
Katanya, perkara yang mereka mahukan adalah kerajaan mendengar masalah dan membantu pengusaha bas di negeri ini kerana syarikat pinjaman kredit berkenaan tidak memberikan moratorium.
"Sehubungan itu, kami memohon kementerian berkaitan membantu pengusaha bas yang berdepan masalah pinjaman kredit yang kian parah.
"Pelbagai cara telah dibuat pihak Gabungan Bas Malaysia, namun permasalahan ini masih belum temui penyelesaian. Kami berharap suara kami dapat didengari, jika tidak kami akan turun berdemo di Putrajaya," katanya.
Menurutnya, pertubuhan itu akan membuat bantahan jalanan di Putrajaya Isnin ini jika kerajaan Pusat masih tidak mempedulikan mereka.
Katanya, mereka terpaksa membuat keputusan itu supaya kementerian terbabit campur tangan dalam masalah yang sedang mereka hadapi.
Thiagarajan berkata, pihaknya kecewa kerana tidak mendapat perhatian dan bantuan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021.
"Jika dilihat dalam pembentangan Belanjawan 2021, hanya perkhidmatan bas berhenti-henti yang mendapat perhatian pihak kerajaan," katanya.