Penceroboh tanah kerajaan, rizab sungai diambil tindakan

Iklan
Lokasi struktur haram bersebelahan sungai yang dikenakan tindakan perobohan hari ini. Foto: Facebook Amirudin Shari.

RAWANG - Kerajaan Selangor melaksanakan perobohan struktur haram yang beroperasi tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan rizab sungai.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penguatkuasaan tersebut dimulakan di Selayang disusuli daerah lain dalam usaha mengatasi pencemaran sungai disebabkan operasi kilang haram beroperasi berhampiran sungai.

Iklan
Iklan
Amirudin hadir pada sesi taklimat operasi struktur haram di bangunan MPS, Rawang hari ini. Foto: Facebook Amirudin Shari.

"Selepas perobohan, pengusaha kilang yang beroperasi tanpa kebenaran atas tanah kerajaan ini juga akan diambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada.

"Kita bawa bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang boleh menjalankan pemeriksaan. Jika terdapat sisa berjadual atau kimia yang tidak diurus dengan betul, tindakan kompaun dan sebagainya boleh diambil," katanya ketika hadir pada sesi taklimat operasi perobohan struktur haram di bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini hari ini.

Iklan

Amirudin berkata, kilang haram yang beroperasi atas tanah kerajaan tidak terlibat dalam program pemutihan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

"Program itu adalah kepada pengusaha yang membangunkan struktur atas tanah mereka tetapi tiada permohonan kebenaran merancang atau masalah syarat tanah yang tidak ditukar.

Iklan

"Kilang yang berada atas tanah kerajaan perlu keluar (kosongkan tanah) atau mereka boleh kemukakan permohonan, tetapi jika duduk di rizab sungai memang kerajaan negeri tidak benarkan," katanya.

Hari ini, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak bersama MPS serta agensi berkaitan melaksanakan operasi perobohan ke atas dua bengkel haram di Kampung Dato' Lee Kim Sai di sini.

Sebanyak lapan struktur haram dikenal pasti beroperasi di pinggir sungai di kawasan itu.

Dua daripadanya dirobohkan hari ini, sementara bakinya akan diambil tindakan sama secara berperingkat dalam masa terdekat.