KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan 14 operasi menangkap dan memindahkan gajah liar yang mengancam serta merosakkan tanaman penduduk di negeri itu sejak tahun 2018.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, lima pemindahan gajah dibuat pada tahun 2018, enam kes pada tahun 2019 dan tiga pemindahan bagi tahun ini.
Menurutnya, tangkap dan pindah gajah merupakan jalan terakhir diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana setiap operasi memerlukan kos tinggi hingga mencecah puluhan ribu ringgit.
"Kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Binatang Liar yang dipengerusikan saya sendiri bersama Perhilitan sentiasa berbincang berhubung langkah menangani serangan gajah liar.
"Antara langkah awal diambil Perhilitan apabila berlaku serangan adalah dengan melepaskan tembakan bagi tujuan menghalau gajah liar berkenaan. Kedua memasang lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) dan ketiga pula pasang pagar elektrik di lokasi yang sering menjadi sasaran serangan gajah.
"Setakat ini, pagar elektrik yang sudah dipasang di seluruh negeri adalah sepanjang 33 kilometer iaitu melibatkan kawasan di kawasan Pelong, Setiu, Kampung Lawit, Hulu Terengganu dan di Kemaman,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ab Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) berhubung langkah diambil kerajaan dalam menangani masalah serangan gajah liar terhadap kebun petani pada Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dr Azman berkata, sekiranya tiga usaha tersebut tidak mendatangkan hasil barulah operasi tangkap dan pindah dilakukan bermula dengan pemantauan, menangkap, menenangkan serta memindahkan gajah itu ke lokasi lain seperti Taman Negeri di Perak dilakukan.
Katanya, terdapat kira-kira 180 ekor gajah liar di Terengganu dan kebanyakannya bertumpu di kawasan Kemaman, Dungun, Hulu Besut dan Setiu.
"Kita turut menyediakan bantuan kepada petani yang menjadi mangsa serangan gajah melalui Tabung Bencana Pertanian kerana serangan haiwan liar termasuk dalam mereka yang layak menerima bantuan.
"Pada tahun lepas kita sudah salurkan bantuan kepada sembilan pekebun di Padang Setar, Hulu Terengganu dan tahun ini pula kepada petani di Pelong, Setiu,” katanya.