PELABUHAN KLANG - Baru beberapa jam tiba di Malaysia melalui jalan tidak sah, lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora, semalam.
Kesemua mereka ditahan dalam tiga serbuan serentak yang dilakukan PPM di Jalan Besar Bagan Teo Chew Pulau Ketam, Jalan Besar Sungai Satu Pulau Ketam dan Jeti Awam Pulau Ketam sekitar jam 9.30 pagi.
Iklan
Iklan
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, semua yang ditahan adalah tiga wanita dan lima lelaki masing-masing berusia antara 23 hingga 46 tahun.
Menurutnya, serbuan dilakukan PPM dengan bantuan polis Pulau Ketam selepas memperoleh maklumat awam dan berjaya menahan Pati berkenaan yang dikenal pasti datang dari Indonesia.
"Berdasarkan pengakuan awal mereka tiba diperairan Malaysia sekitar jam 4 pagi semalam dengan sebuah bot dan datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairuddin berkata, kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan direman selama 14 hari untuk membantu siasatan.
Artikel Berkaitan