Insiden berbalas tembakan di sempadan pertama kali berlaku

Iklan
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand sebelum ini hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu.

Iklan
Iklan

Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 November lepas.

Bagaimanapun, hari ini tembakan itu telah mengorbankan seorang anggota PGA dan menyebabkan rakan setugasnya cedera parah.

Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, insiden tembak-menembak di sempadan Malaysia-Thailand antara anggota PGA dan kumpulan penyeludup yang dilaporkan pada 2.30 pagi itu adalah yang pertama berlaku dan telah menyebabkan anggota pasukan keselamatan terkorban.

"Ini menunjukkan kumpulan penyeludup semakin agresif dan berani menyerang anggota PGA yang sedang bertugas di sempadan,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini.

Iklan

Hari ini, seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup manakala seorang lagi cedera parah.

Anggota yang terkorban ialah Koperal Baharuddin Ramli, 54, dari suku kaum Semelai, manakala rakan setugasnya, Koperal Norihan a/l Tari cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed untuk membantu pasukan forensik JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan IPK Kedah menjalankan siasatan lanjut dalam kes tersebut.

"Saya minta kepada mereka (forensik JSJ IPK Perlis dan IPK Kedah) untuk tidak terlepas apa-apa prosedur operasi standard (SOP) siasatan kes ini sekiranya kes ini dibicarakan kemudian dan berpeluang untuk sabitan tinggi apabila mendakwa suspek di negara ini.

"Selain itu, PDRM akan terus bekerjasama dan berhubung dengan Polis Diraja Thailand untuk mengesan dan menjejak saki-baki penyeludup di sebelah Thailand untuk dibawa ke Malaysia bagi menghadapi proses undang-undang di Malaysia,” katanya yang turut meminta Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji mengetuai operasi kawalan keselamatan di sempadan negara berhubung kes itu.

Katanya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan serta kesiapsiagaan di kawasan sempadan antaranya di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kelantan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Baharuddin komited dalam tugas

Kes tembak di sempadan: Polis tahan dua penyeludup

Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera