SABAN hari ada sahaja kisah duka kerinduan insan tersayang yang terpisah antara Malaysia dan Singapura yang dikongsi media sosial, malah turut dipaparkan dalam akhbar dan kaca televisyen.
Si suami di Singapura merindui isteri dan anak di Johor Bahru. Begitu juga si isteri yang tabah menunggu suami sehingga ada yang sanggup menaiki bot untuk melambai si suami di seberang tambak. Si ibu pula terus menunggu kepulangan anak yang bekerja di Singapura, malah tidak henti-henti menitipkan doa.
Pertanyaan si anak tentang ayah akan pulang dari Singapura menjadi soalan yang paling kerap diajukan kepada si ibu yang sebenarnya turut merindui suami.
Hakikatnya mereka terlalu rindu untuk bertemu keluarga dan insan tersayang selepas laluan darat yang menghubungkan dua negara Malaysia-Singapura iaitu Tambak Johor ditutup sejak Mac lalu.
Dalam tempoh itu, telefon menjadi penghubung dan video secara langsung menerusi platform media sosial menjadi peneman setia.
Tempoh lapan bulan dilalui sejak penutupan Tambak Johor susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid- 19) disifatkan tempoh masa yang cukup panjang.
Jika sebelum ini Tambak Johor merupakan laluan darat paling sibuk di dunia dengan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik menerusi Tambak Johor setiap hari tetapi kini ia lengang dan sepi.
Tiada lagi pemandangan penunggang motosikal beratur dan menunggu giliran memasuki Singapura untuk bekerja setiap hari.
Tambak Johor sepanjang 1.05 kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura dibina pada tahun 1923.
Ia adalah laluan darat utama yang menjadi pintu keluar masuk ke Singapura, selain laluan kedua di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Kupang, Gelang Patah.
Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia kini mencari nafkah di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari dengan menunggang motosikal, majoritinya keluar masuk ke republik berkenaan menerusi Tambak Johor.
Pertimbangan
Harapan terus disandarkan supaya Tambak Johor dibuka semula agar mereka yang mencari rezeki di Singapura dari Johor Bahru dapat merentas sempadan seperti dahulu.
Pastinya perkara itu memerlukan pertimbangan secara teliti daripada kedua-dua negara sebelum Tambak Johor dibuka sepenuhnya.
Bermula pada 17 Ogos lalu, kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) diperkenalkan bagi membolehkan rakyat dua negara merentas sempadan tetapi mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan.
RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara, manakala PCA membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan bekerja di salah satu negara memasuki negara berkenaan dalam tempoh yang dipersetujui.
Bagi kedua-dua skim itu, rakyat Malaysia dan Singapura yang memenuhi syarat perlu mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam Covid-19 yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara termasuk menjalani ujian calitan Reaksi Rantai Polimerase (PCR).
Selepas tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut di negara mereka bekerja, mereka boleh pulang ke tanah air masing-masing untuk cuti jangka pendek.
Mereka kemudiannya boleh kembali ke negara di mana mereka bekerja untuk meneruskan pekerjaan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi berturut-turut.
Walau apa pun yang dihadapi rakyat Malaysia di Singapura, mereka tetap tabah untuk meneruskan kehidupan mendatang kerana tiada tarikh pasti bilakah Tambak Johor akan dibuka sepenuhnya.
Bagi yang dapat bertemu pasangan walaupun sekejap, ia dianggap sudah memadai untuk melepaskan kerinduan terutama anak-anak yang masih kecil.
Namun, ada yang terpisah sehingga tidak pernah menatap wajah anak yang baru dilahirkan. Cukup memeritkan tetapi itulah hakikat yang dihadapi pekerja Malaysia yang berada di Singapura kini.
Demi meneruskan kelangsungan hidup, mereka sanggup berjuang meneruskan kehidupan di Singapura meskipun ada segelintir mereka di Singapura telah mengambil keputu-san untuk pulang ke Malaysia.
Sewajarnya mereka dianggap sebagai wira kerana terus berada di Singapura bagi mencari rezeki untuk menyara keluarga di Malaysia walaupun tidak dapat bertemu dengan orang yang tersayang dalam masa yang cukup panjang.
Teruskan berjuang buat mereka yang berada di Singapura kerana anda adalah wira.
* Nor Azura Md Amin ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Johor