Misteri ketukan pintu redakan stres orang Selangor

Iklan
Cerita mengenai bunyi ketukan misteri di rumah penduduk di Sabak Bernam, Selangor menarik minat masyarakat. (Gambar hiasan). - Foto 123RF

MERAK Jalanan dapati berita berkaitan bunyi ketukan misteri di rumah penduduk di Sabak Bernam, Selangor mendapat perhatian yang sungguh luar biasa.

Beribu-ribu warganet berlumba-lumba memberikan komen dan like, mengalahkan berita kilang sarung tangan di Selangor yang ditutup selepas lebih 1,000 pekerjanya terkena Covid-19.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian di Sabak Bernam itu, penduduk bingung mendengar bunyi ketukan kuat pada pintu pagar atau pintu depan rumah pada waktu malam.

Anehnya bila dijenguk, tiada siapa di situ. Rakaman CCTV pula tidak menangkap sebarang kelibat atau bayang.

Iklan

Ada yang mengandaikan itu perbuatan hantu seperti pocong atau belaan pengamal ilmu hitam. Yang lain percaya ia kerja budak nakal. Yelah, macam-macam bunyi boleh dibuat dengan teknologi gajet pintar hari ini.

Tak lama dulu, kecoh pintu rumah penduduk diketuk pada malam hari kononnya angkara hantu raya mencari tuan baharu di Perak. Rupa-rupanya ia perbuatan bomoh dari kampung sebelah.

Iklan

Setakat yang Merak Jalanan tahu, kisah misteri sentiasa menarik minat masyarakat dari New York sampai ke Tokyo, bukan di Sabak Bernam sahaja.

Live Science menjelaskan manusia memang sukakan kisah misteri disebabkan sifat semula jadi mereka iaitu perasaan ingin tahu mengenai sesuatu yang berbeza daripada kehidupan normal mereka.

Minat itu bertambah apabila banyak hal misteri gagal dijelaskan oleh sains.

Contohnya, angkasawan pertama China, Yang Liwei mendakwa pernah terdengar bunyi ketukan misteri semasa penerbangan pertama ke angkasa, namun tiada siapa yang mampu menjelaskan sebab terjadinya perkara itu sehingga sekarang.

Dalam saat genting kes Covid-19 yang terus melonjak di Selangor, kisah misteri di Sabak Bernam itu kadangkala berguna untuk meredakan suhu kebimbangan dalam negara.

Orang juga boleh lupa seketika akan kesakitan akibat pandemik mahupun hiruk-pikuk politik belanjawan.