Melawan ikatan yang longgar

Iklan
Nilai kekeluargaan jika tidak dipupuk, besar mudaratnya. Ia akan menjadikan kita semakin jauh daripada akar umbi.

"ZARUL, ini beg awakkah?”

"Bukan.Cuba tanya Yati. Mungkin beg dia.”

Iklan
Iklan

"Yati! Ini beg awakkah?”

"Ya, itu beg saya. Kenapa Budi?”

Iklan

Ia dialog biasa. Tiada apa yang pelik tetapi dialog itu tentulah tidak akan menjadi tidak pelik jika Budi itu adalah anak, manakala Zarul itu bapanya dan Yati pula emaknya.

Pelik untuk sekarang. Akan datang? 10, 20 atau 30 tahun lagi?

Iklan

Di Amerika Syarikat telah mula menjadi perkara biasa jika anak-anak memanggil ibu bapa mereka dengan nama sahaja. Selalunya nama pertama. Ia sebetulnya adalah normal baharu di sana.

Dikatakan bermula sekitar 1990-an atau lebih awal sedikit daripada itu. Asalnya anak-anak di Barat pun memanggil ibu bapa mereka dengan gelar yang sepatutnya, mengikut pangkat. Secara umumnya ‘mom’ dan ‘dad’ atau ‘mama’ dan ‘papa’.

Tidak ada catatan jelas sejak bila perkataan-perkataan itu mula digunakan. Oxford English Dictionary pun mengaku ‘tidak mempunyai bukti’ daripada mana perkataan ‘dad’ bermula tetapi ‘mom’ muncul sekitar 1800-an.

Ia berakar umbikan perkataan Latin ‘mamma’ yang bermaksud ‘tetek’. Daripada perkataan itulah datangnya istilah ‘mamalia’ untuk haiwan yang menyusukan anak.

Yang menariknya, perkataan yang hampir serupa dengan ‘mom’ bagi merujuk kepada emak wujud dalam hampir semua bahasa di dunia.

Bunyi dan ejaannya mungkin berbeza tetapi unsur ‘m’nya muncul dengan ketara. Dalam bahasa Inggeris ‘mother’, dalam bahasa kita ‘emak’, di Belanda ‘moeder’, di Itali ‘madre’, di Jerman ‘mutter’. Di China, ia menjadi ‘mama’, dalam bahasa Hindi ‘mam’, bahasa Tamil ‘amma’, bahasa Rusia ‘matb’, di sebelah Thailand ‘mae’.

Untuk bapa pun begitu. Bunyinya hampir sama dalam semua bahasa: ‘father’, ‘papa’, ‘baba’, ‘pateras’, ‘pere’, ‘pater’, ‘pho’, ‘appa’.

Dengan perkataan-perkataan yang telah disebut itulah atau perkataan lain yang sama maksudnya tetapi tidak disebut di sini, anak-anak semua bangsa di dunia diasuh untuk memanggil atau merujuk kepada ibu dan bapa mereka.

Saya tidak pasti adakah anak-anak bangsa lain turut terpengaruh dengan cara budak-budak di Amerika memanggil ibu bapa mereka dengan nama.

Saya bimbang sebenarnya. Takut lama-lama ia menjadi kebiasaan yang diterima di merata pelosok sehingga akhirnya sampai ke Malaysia.

Bimbang

Kebimbangan itu lebih berganda apabila mengenangkan anak bangsa saya yang kadangkala – sekadar menyedapkan hati, yang betul adalah selalunya – mudah terpengaruh dengan perkara-perkara baharu yang menyanggah budaya.

Serius, saya bimbang. Sama dengan bimbangnya saya apabila mengenangkan budak-budak sekarang ini sudah semakin tidak pandai menyebut pak long, pak ngah tetapi petah pula menyebut uncle, sudah tidak rajin memanggil mak lang dan mak teh tetapi sangat tak kisah untuk memanggil auntie.

Tiada salahnya tetapi uncle dan auntie mengaburkan hierarki seseorang bapa saudara dan emak saudara.

Dalam sistem panggilan Melayu, wujud kepentingan membezakan setiap individu, urutan kedudukannya dalam keluarga atau duduk letaknya dia dalam keluarganya dan masyarakat.

Kalau pak long, kita tahu dia anak ke berapa, kalau pak lang, kita tahu di atasnya berapa orang tetapi apabila ditukar menjadi uncle, kita pun keliru. Tidak tahu uncle yang sulung atau uncle yang bongsu.

Bagi kita, kata panggilan adalah satu kaedah untuk menzahirkan rasa hormat. Memanggil dengan nama pula kecuali dalam kalangan rakan yang akrab atau kepada yang lebih muda merupakan perbuatan yang kurang susilanya.

Serius, saya menjadi resah apabila membayangkan kata-kata panggilan berasaskan kedudukan dalam keluarga itu hilang.

Lebih gusar lagi apabila mengenangkan uncle dan auntie juga hilang, diganti dengan panggilan nama semata-mata. Gerun hendak membayangkan cucu cicit saya nanti memanggil saya Budi sahaja.

Ia tidak mustahil. Telah terlalu banyak perkara yang kelihatan mustahil suatu ketika dahulu kini telah diterima sebagai kebiasaan.

Jika yang saya gusarkan itu berlaku, bermakna satu lagi tragedi menimpa sistem kekeluargaan kita. Sekarang ini pun sudah terlalu banyak nilai baharu yang mengasak sehingga melonggarkan ikatan yang dahulunya cukup erat.

Contoh mudahnya, dahulu kalau hendak makan, emak yang masakkan, sekarang beli. Dahulu kalau duduk rumah sewa atau asrama sekali-sekala ayah singgah hantarkan makanan air tangan emak. Sekarang Foodpanda yang hantar, itu pun air tangan mamak.

Dahulu, selepas makan anak-beranak duduk menghadap televisyen. Itulah masa untuk sembang-sembang santai.

Sekarang, engkau di penjuru sana, aku di penjuru sini. Sana menghadap skrin telefon, sini pun sama juga. Anak sulung berkurung di bilik menghadap komputer riba, anak bongsu di bilik lain menghadap PS4. Televisyen dipasang sekadar untuk mengurangkan sunyi.

Kekeluargaan

Anak tidak lagi menghampiri si ayah untuk bertanya ‘sah atau tidak solat jika kencing tak lawas’. Dia akan bertanya pada Google dan dengan Google dia boleh bertanya lebih banyak tentang apa sahaja tanpa bimbang sesiapa mengerutkan muka.

Isteri tidak lagi mahu mengganggu suami untuk meminta nasihat dan pandangan tentang sesuatu, sebab di laman-laman sosial ramai kawannya menanti untuk berebut menunjuk pandai. Begitulah berubahnya hidup kita.

Berapa minit sehari kita berpeluang duduk bersama anak-anak? Berapa kali seminggu kita ada kesempatan duduk menghadap meja makan anak-beranak? Berapa kali sebulan kita berkesempatan berjemaah seisi keluarga?

Memang ada yang masih boleh melakukan semuanya tanpa sebarang masalah tetapi berapakah bilangan mereka? Berapa nisbahnya berbanding dengan yang tidak boleh? Ramai yang sekadar menyimpan impian.

Nilai kekeluargaan jika tidak dipupuk, besar mudaratnya. Ia akan menjadikan kita semakin jauh daripada akar umbi. Apabila kita jauh, anak cucu kita tentulah menjadi lebih jauh. Sebab itulah terdapat banyak kes anak enggan apabila diajak balik bercuti di kampung.

Antara alasan yang diberi adalah ‘line’ internet di kampung lembap. Maknanya, ‘line’ lebih penting daripada datuk dan nenek.

Saya tidak menolak kemajuan. Saya juga mengalu-alukan perubahan tetapi ia seharusnya diimbangi dengan kesediaan kita menjaga dan mempertahankan nilai-nilai yang ada.

Janganlah sampai ke peringkat apabila hendak beristeri, orang sudah tidak cari yang pandai memasak dan mengemas rumah tetapi orang cari yang pandai order barang secara online."Mudah, sebab tidak payah bawa dia mengembara dari kompleks ke kompleks.”

Dan hubungan pun menjadi semakin renggang.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan