REAL Madrid terpaksa melupakan khidmat penyerang, Karim Benzema dan pertahanan berpengalamannya, Sergio Ramos pada aksi Liga Juara-Juara berdepan Inter Milan di San Siro awal pagi Khamis ini.
Pengendalinya, Zinedine Zidane berkata, kedua-dua tonggak utamanya itu mengalamai kecederaan dan tidak sempat pulih menjelang pertembungan dengan pasukan gergasi Itali itu.
"Sudah tentu ia akan menjadi sangat sukar tanpa kedua-dua pemain berpengalaman tersebut. Saya tidak mempunyai banyak pilihan pemain berpengalaman di kedua-dua posisi tersebut.
"Namun, saya akan melihat apa yang boleh dilakukan dan saya percaya pemain lain yang diturunkan mampu untuk memberikan aksi terbaik seperti yang diharapkan," katanya.
Benzema mengalami kecederaan pada 8 November lalu dan turut terlepas aksi berdepan Villareal baru-baru ini.
Manakala, Ramos pula mengalami kecederaan hamstring ketika mewakili Sepanyol dalam aksi antarabangsa minggu lalu dan dijangka terpaksa diketepikan beberapa minggu lagi.
Bagaimanapun, Zidane tetap mendapat berita gembira apabila pemain tengahnya, Casemiro kemungkinan besar boleh diturunkan selepas pulih dariapda jangkitan Covid-19.
"Casemiro bakal memberikan saya lebih tenaga di bahagian tengah dan ia amat diperlukan ketika menentang pasukan seperti Inter.
"Saya juga akan membawa masuk penyerang muda dalam skuad iaitu Hugo Duro sebagai persediaan sekiranya diperlukan nanti," katanya.
Perlawanan menentang Inter itu bukanlah perlawanan wajib menang, namun jika Real kalah ia akan memberikan kesan kepada peluang pasukan tersebut layak ke pusingan seterusnya.