Tiga bot nelayan ditahan curi kerang

Iklan
Tiga bot yang ditahan APMM dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut.

BUKIT MERTAJAM - Tiga buah bot nelayan tempatan kelas A ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas dipercayai mengambil kerang dari tapak kultur kerang tanpa lesen yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim, Hamizan Harun berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 0.5 batu nautika dari muara Sungai Belanak, Juru pada jam 12.20 tengah malam hingga 1.30 awal pagi tadi.

Menurutnya, serbuan itu dibuat hasil daripada maklumat awam yang memaklumkan terdapat beberapa buah bot nelayan menceroboh dan mengambil kerang dari tapak kultur kerang berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga tekong bersama dua orang awak-awak warganegara tempatan yang berada di atas bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.

"Ketiga-tiga buah bot tersebut ditahan bersama hasil tangkapan lebih kurang 305kg kerang dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,”katanya di sini.

Hamizan menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius dalam menangani aktiviti di laut secara haram dan menegaskan agar komuniti maritim tidak melakukan sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang sedia ada.

Katanya, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146.