Polis Johor lupus RM2.5 juta rokok, arak seludup

Iklan
Ayob Khan (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas sejak 2018 hingga bulan lalu sebelum dilupuskan pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU - Polis Johor hari ini melupuskan rokok dan arak seludup pelbagai jenis yang dirampas sejak tahun 2018 hingga Oktober lalu bernilai RM2.5 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pelupusan berkenaan melibatkan 30 kes yang telah selesai daripada sudut siasatan dan pendakwaan serta mendapat arahan mahkamah untuk melupuskannya.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah keseluruhan kes yang selesai dan nilai rampasan, 12 kes dari daerah Johor Bahru Selatan dengan nilai rampasan RM820,000, 10 kes Iskandar Puteri (RM916,618) dan lapan kes Seri Alam (RM763,382)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan polis Johor melakukan 467 siri serbuan dan seramai 36 suspek berusia antara 26 hingga 53 tahun ditahan melibatkan warganegara dan bukan warganegara.

Iklan

"Daripada jumlah tersebut, 12 ditahan di Johor Bahru Selatan, 15 di Iskandar Puteri dan sembilan lagi di Seri Alam," katanya.

Beliau berkata, rokok seludup berkenaan diseludup antaranya dari Vietnam dan Indonesia sebelum dibawa masuk ke beberapa lokasi di Johor dan Pahang.

Iklan

Ayob Khan berkata, kebanyakan yang ditangkap terlibat dengan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras adalah pemandu lori dan pemilik kedai sebaliknya dalang utama sindiket itu terlepas.

Ayob Khan (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas sejak 2018 hingga bulan lalu sebelum dilupuskan pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

Katanya, ini kerana ketika ini dalam memerangi kes-kes penyeludupan rokok hanya akta kastam yang diguna pakai dan bukan di bawah jenayah terancang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Jika mereka boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan, kita boleh mengambil tindakan terhadap keseluruhan sindiket terbabit termasuk ketua sindiket itu sendiri.

"Ini berbeza pada masa kini apabila pemandu lori dan pekedai sahaja didakwa, mereka yang lain dalam sindiket tersebut terlepas. Misalnya seorang pemandu lori atau pekedai akan didenda RM1,000 atau RM2,000. Ini tidak menjadi masalah bagi pemandu lori untuk membayarnya kerana dia mungkin dapat RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu trip," katanya.

Ayob Khan berkata, polis Johor mencadangkan kepada Putrajaya agar kes penyeludupan rokok boleh disiasat di bawah jenayah terancang mengikut SOSMA

bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap semua yang terlibat.

Katanya, cadangan itu difikirkan perlu memandangkan kerajaan mengalami kerugian hampir RM5 bilion setahun disebabkan aktiviti penyeludupan barang terlarang ini.