FELCRA Bhd dan Baladna Food Industries di bawah usaha sama strategik bernilai RM2 bilion bakal mengembangkan perniagaan tenusu bersepadu berskala besar dengan penerapan teknologi tenusu terbaharu.
Kerjasama itu akan turut merangkumi pengeluaran makanan ternakan, ladang tenusu dengan 10,000 lembu pemerahan dan kilang pemprosesan yang mampu menghasilkan lebih dari 120 juta liter susu segar pada tahun pertama pengeluarannya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam satu kenyataan berkata, satu sesi perbincangan yang disertai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diadakan untuk meneliti usaha strategik Felcra bersama syarikat tenusu dan ternakan dari Baladna, Qatar.
Katanya, sesi tersebut turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor dan Ahli Lembaga Pengarah Baladna, Aidan Tynan.
Menurutnya, Mohd Nazrul dan Tynan menyampaikan secara komprehensif berkenaan usaha sama itu serta impak-impak
bermanfaat hasil dari kolaboratif antaranya mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, pemindahan teknologi tenusu, penggantian import serta peningkatan imbangan pembayaran sejajar dengan usaha Jaminan Keselamatan Makanan Negara.
Menurutnya, bagi memantapkan lagi usaha sama itu, Felcra dan Baladna turut meneliti peluang bekerjasama dengan FGV Holdings Bhd untuk membangunkan ladang tenusu di Chuping, Perlis.
"Petani tempatan termasuk peserta Felcra akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam projek ini melalui program penanaman makanan lembu dan mewujudkan ladang-ladang satelit," katanya.
"Kerjasama ini tepat pada masanya kerana Felcra komited untuk mempelbagaikan teras perniagaannya ke arah pertumbuhan dan kelestarian, manakala pengalaman dan pengetahuan Baladna yang meluas dalam industri ini akan mendorong usaha bersama mengembangkan perniagaan secara eksponensial dan bukannya secara organik,” katanya.