KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu tidak lagi membenarkan pencerobohan baharu kawasan sungai, tasik dan tanah milik kerajaan dilakukan bagi tujuan membina kolam serta sangkar ikan secara haram.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, mana-mana pihak yang berbuat demikian selepas ini akan diambil tindakan.
Menurutnya, hanya kolam dan sangkar ternakan ikan yang sudah sedia ada akan diberi perhatian dan semua pengusaha diminta memohon Lesen Menduduki Sementara (LMS) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Pembinaan kolam dan sangkar ikan secara haram di sungai, tasik dan tanah milik kerajaan adalah satu kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.
"Hasrat kerajaan adalah untuk selesaikan isu ini secara harmoni, bukan untuk menghukum rakyat. Sebab itu kerajaan berusaha beri LMS kepada pengusaha ikan sangkar di Besut, Setiu dan beberapa lokasi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Muhammad Khalil Abdul Hadi (Pas-Batu Buruk) mengenai kaedah kerajaan negeri bagi menangani isu pembinaan kolam dan sangkar ternakan ikan secara haram di sungai, tasik dan tanah milik kerajaan negeri pada Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dr Azman berkata, setakat ini Terengganu merekodkan sebanyak 1,036 sangkar ternakan ikan haram di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu katanya, 180 sangkar mempunyai LMS, 48 sangkar sudah tamat tempoh sah LMS, sebanyak 134 sangkar tidak mempunyai LMS, manakala 674 sangkar lagi sudah pun memohon LMS dan dalam proses.
"Dasar tanah negeri Terengganu membolehkan pengusaha ternakan ikan sangkar memohon LMS dan ia perlu dimanfaatkan oleh rakyat.
"Keterbukaan ini akan wujudkan satu dilema seolah-olah kita galakkan rakyat ceroboh tanah, kolam dan tasik di tanah milik kerajaan tapi hasrat kerajaan sebenarnya bukan begitu.
"Oleh itu selepas ini, kita mahu selesaikan kolam dan sangkar ikan yang sudah sedia ada sekarang dan kita tidak lagi membenarkan pencerobohan baharu dilakukan dan jika ada, ia akan diambil tindakan,” katanya.