Institusi perbankan perlu bersama bina semula negara

Iklan
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR - Institusi perbankan dan kewangan harus memainkan peranan bersama dalam membina semula negara yang terjejas akibat Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, usaha untuk merealisasikan matlamat ini tidak seharusnya disandarkan ke bahu kerajaan semata-mata.

Iklan
Iklan

Katanya, kewangan sosial Islam amat relevan dalam menangani cabaran semasa dan memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.

"Perbankan Islam mempunyai potensi yang besar untuk memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah.

Iklan

"Instrumen-instrumen ini tidak seharusnya terhad kepada penyediaan keperluan asas dan sara hidup golongan yang memerlukan atau untuk tujuan keagamaan seperti pembinaan masjid dan madrasah sahaja," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada pelancaran Pembiayaan Mikro BangKIT oleh Bank Islam Malaysia Bhd di sini hari ini.

Mustapa berkata, instrumen-instrumen ini boleh dikembangkan untuk membangunkan golongan asnaf dan masyarakat yang terkesan teruk ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu bagi membolehkan mereka berdikari dan lebih berkemampuan dalam jangka panjang.

Iklan

Tambahnya, pengenalan program kewangan sosial di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pembiayaan Mikro iTEKAD, adalah contoh program khusus untuk membantu dan menyokong usahawan mikro B40 dan asnaf yang pendapatannya terjejas ekoran pandemik Covid-19.

"Covid-19 telah mengubah kehidupan kita semua. Kesannya amat besar kepada semua pihak terutamanya perusahaan mikro dan kecil.

"Namun kita tidak boleh mengalah. Kita harus terus berusaha dan kreatif bagi memastikan ekonomi dapat digerakkan. Ini kerana vaksin untuk mencegah penyebaran pandemik ini masih jauh untuk tiba di sini," katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, kerajaan akan terus berusaha menangani cabaran ini dengan mengimbangi keperluan untuk menjaga nyawa dan kelangsungan ekonomi.

"Pakej rangsangan ekonomi, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kita Prihatin telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk kembali pulih seperti sebelum pandemik ini melanda.

"Malah untuk rancangan jangka panjang, Belanjawan 2021 yang terbesar dalam sejarah juga telah menyediakan asas yang kukuh untuk Rancangan Malaysia Ke-12," jelasnya. - Bernama