KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera orang gaji mereka yang merupakan warga Indonesia di sebuah rumah di Taman Batu Jinjang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya bersama sepasukan anggota dari D3 Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman menahan pasangan berusia 41 dan 42 tahun pada jam 3 petang.
"Kita menahan pasangan tersebut setelah menerima aduan daripada orang awam berhubung kes dera seorang wanita berusia 26 tahun pada jam 11 pagi pada hari yang sama.
"Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, kita telah menyelamatkan pembantu rumah itu," katanya pada sidang akhbar di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri di sini hari ini.
Eng Lai berkata, pihaknya merampas pisau, gunting, kerusi dan periuk yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa.
"Kita mendapati kesan cedera di seluruh badan mangsa. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut," katanya.
Katanya, mangsa telah bekerja di rumah sejak 13 bulan lalu.
"Punca kejadian mungkin majikan tidak berpuas hati terhadap prestasi kerja mangsa, malah mangsa juga tidak dibayar gaji.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 13 ATIPSOM, 326 dan 307 Kanun Keseksaan," katanya.