BERA - Abang kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Norihan,39, berharap adiknya itu cepat sembuh susulan cedera parah akibat ditembak dalam serangan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi semalam.
Shahriman A/L Tari, 41, dari Kampung Bukit Ibam berkata, dia yang merupakan abang sulung mengetahui nasib menimpa Norihan selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lagi adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur.
"Adik adalah anak kedua daripada lima beradik dan kali terakhir kami berjumpa adalah pada 24 Oktober lalu. Kejadian tersebut memang mengejutkan sekali gus menyedihkan kami sekeluarga. Saya harap adik (Norihan) cepat sembuh," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.
Menceritakan perihal Norihan, lelaki itu berkata, adiknya adalah seorang yang baik hati dan peramah namun tidak pernah bercerita mengenai pekerjaannya kepada ahli keluarga.
Tambahnya, Norihan mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki dan perempuan yang tinggal bersama isterinya di perkampungan Orang Asli Jeram Kedah, Ulu Beranang dekat Lenggeng, Negeri Sembilan.
"Kami sekeluarga akan datang melawat Norihan di hospital selepas menerima perkembangan daripada isterinya," katanya sambil menceritakan Norihan juga rapat dengan ayahnya, Tari A/L Gudok,60, yang tinggal di Felda Kumai, Bera.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli terbunuh manakala Norihan cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.