Agong zahir takziah kepada keluarga mendiang Baharuddin

Iklan
Foto Instagram Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang meninggal dunia ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand pada awal pagi semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Baharuddin dan berharap agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

Iklan
Iklan

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti serta jasa mendiang kepada masyarakat dan negara.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar buat Pasukan Gerakan Am dan negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Iklan

Baharuddin, 54, orang asli dari suku kaum Semelai dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi parah dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup di Tembok Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi semalam.

Mendiang daripada Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, terkena tembakan di bahagian kiri perut, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakan setugasnya Koperal Norihan a/l Tari dari Pos Kawalan Sempadan berada dalam keadaan kritikal akibat tiga das tembakan di rusuk serta perut dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar. - Bernama

Iklan