SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengkritik sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tidak mewajibkan kuarantin selama 14 hari ke atas individu baru tiba ke Semenanjung dari Sabah yang dipercayai dibuat atas kepentingan politik.
Menurutnya, KKM sepatutnya belajar daripada kesilapan lalu kerana polisi melonggarkan peraturan kuarantin pada September lepas sudah terbukti menjadi punca merebaknya virus Covid-19 di Semenanjung termasuk dalam kalangan para pemimpin yang berkempen dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah.
"Kita lihat kerajaan menukar peraturan secara sesuka hati. Begitu juga dengan kes melibatkan Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan di Dewan Rakyat semalam yang sepatutnya masih menjalani kuarantin kendiri sekembali dari Sabah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Katanya, Jeffrey yang dikatakan tidak cukup tempoh kuarantin 14 hari hadir di dewan tanpa rasa bersalah.
"Jika dilihat kerajaan seperti mempermainkan isu kesihatan dan tidak kisah dengan keadaan semasa wabak, malah blok kerajaan seolah-olah seperti ada agenda terancang memandangkan esok (Khamis) adalah pengundian bagi Belanjawan 2021.
"Begitu juga soal kawalan di zon merah, hijau dan kuning. Jika di Sabak Bernam dan Ulu Selangor yang bukan zon merah dan terkawal mereka tetap layan sama seperti di kawasan zon merah, jadi ia menunjukkan layanan yang 'double standard'," katanya.
Khalid berkata, sepatutnya peraturan dijalankan dengan adil dan perlu dipatuhi serta tidak sesuka hati mengubah polisi untuk kepentingan politik semata-mata.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengembara yang tiba dari Sabah dan didapati negatif tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari seperti dikuatkuasakan sebelum ini.
Menurutnya, pengembara itu hanya perlu menjalani ujian calitan atau 'swab' tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain bermula 25 November ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Buat ujian swab tiga hari sebelum berlepas dari Sabah
Dalam pada itu, Ahli Parlimen, Lembah Pantai Fahmi Mohamed Fadzil pula berkata, perubahan prosedur operasi standard (SOP) dalam isu kesihatan itu menunjukkan satu budaya yang tidak sihat.
"Kenapa bila yang diperintah (rakyat) SOP lain, tetapi apabila ia melibatkan pemerintah SOP yang ditetapkan boleh pula diubah, ini tidak adil kerana kesihatan awam lebih penting.
"Lagipun wabak Covid-19 ini bukan boleh pilih darjat dan tidak kenal pangkat, maka ia perlu diseragamkan supaya rakyat melihat kerajaan adil," katanya.
Beliau turut mempersoalkan kelonggaran yang diberikan KKM dan Speaker Dewan Rakyat kepada Jeffrey apabila Ahli Parlimen Keningau itu memasuki Dewan Rakyat tanpa memenuhi tempoh kuarantin 14 hari pada Selasa lalu.
"Saya tidak menolak kehadiran beliau di Parlimen semalam adalah atas arahan seseorang, namun kita tidak tahu siapa dan ia berkaitan dengan undian belanjawan yang akan diadakan esok (Khamis). Maka ini perlu diperjelaskan dengan sewajarnya," tegasnya lagi.
Selasa lalu, kehadiran Jeffrey di Dewan Rakyat mengundang perdebatan panas dalam sesi perbahasan di Parlimen apabila apabila ia dibangkitkan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman.
Mohd Azis memaklumkan yang beliau sendiri tidak pulang ke Sabah walaupun ibu saudaranya meninggal dunia minggu lalu kerana memenuhi peraturan tempoh kuarantin 14 hari.
Mohd Azis mendakwa Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah belum tamat menjalani kuarantin selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 12 November lalu.
Dalam pada itu, mengikut jadual Dewan Rakyat esok, seramai 220 ahli Parlimen bakal melakukan undian bagi meluluskan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz awal November lalu.
Bagaimanapun, timbul tanda tanya sama ada belanjawan itu dapat diluluskan atau tidak memandangkan majoriti tipis antara kerajaan dengan pembangkang, selain pergolakan politik dalam Perikatan Nasional dan kemungkinan wakil rakyat dari Sabah tidak dapat masuk ke dalam dewan jika SOP kuarantin 14 hari dilaksanakan.