Kerajaan Kedah cadang rondaan bersama ATM,PDRM di sempadan

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mencadangkan rondaan secara bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sempadan Malaysia-Thailand yang tidak berpagar di negeri itu sejauh 15 kilometer (km).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mengemukakan cadangan itu demi memastikan individu melintasi sempadan ditahan dan kawalan lebih ketat di pintu sempadan negara.

Iklan
Iklan

Katanya, pihaknya peka dengan soal keselamatan di sempadan dan memahami kemampuan kerajaan Persekutuan untuk memasang pagar di 700 km sempadan Malaysia Thailand di Kedah, Perlis, Kelantan dan Perak yang akan menelan kos tinggi.

"Kedah memiliki lebih kurang 100 km kawasan sempadan yang dikawal rapi. Daripada jumlah berkenaan terdapat lokasi tertentu di sempadan Kedah lebih kurang 15 km yang tidak berpagar.

Iklan

"Difahamkan, sempadan Kedah dijaga oleh tentera yang tidak memiliki kuasa untuk menahan individu yang melintasi di kawasan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya dimaklumkan anggota tentera tidak boleh menahan atau menembak mereka yang melintas selagi tidak diisytihar sebagai musuh.

Iklan

"Ada kawasan tertentu ataupun hutan di sempadan tidak berpagar dan hanya ada tentera yang membuat kawalan namun mereka memiliki kuasa terbatas, jikalau ada rondaan bersama polis, lebih mudah individu melintas sempadan ditahan," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau sentiasa yakin memberi kepercayaan kepada anggota keselamatan menjaga dan mengawal sempadan negara.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, beliau menzahirkan ucapan takziah kepada anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, mendiang Koperal Baharuddin Ramli dalam insiden pertempuran dengan penjenayah di sempadan Malaysia Thailand di Padang Besar, Perlis, semalam.

"Kita juga mendoakan supaya seorang lagi anggota PGA Koperal Norihan Tari yang dilaporkan cedera parah dalam insiden itu segera sembuh dan dapat terus berkhidmat mempertahankan kesejahteraan serta kedaulatan tanah air," kata beliau lagi.

Katanya, meskipun berdukacita, semangat pengorbanan tinggi ditunjukkan oleh mereka dan juga anggota pasukan keselamatan lain yang sentiasa gigih berani berjuang untuk negara amat disanjung.

"Semoga apa yang ditunjukkan menjadi teladan dan lebih membakar semangat semua anggota pasukan keselamatan untuk terus mempertahankan setiap inci tanah air kita daripada ancaman penjenayah dan pengancam keselamatan negara," katanya.