MELAKA TENGAH - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berpegang kepada 'amar makruf nahi mungkar' dalam isu pengharaman arak di kedai serbaneka dan runcit.
Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, yayasan itu tiada sebarang larangan selagi dibenarkan syarak, namun tidak akan sesekali berkompromi dengan suatu yang dilarang seperti arak, judi dan berzina.
Menurutnya, langkah diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membabitkan penjualan minuman keras baru-baru ini itu bukan sahaja tuntutan agama, malah tepat memandangkan banyak laporan mengenai individu yang mabuk hingga berisiko berlaku insiden yang tidak sepatutnya.
"Setiap individu sama ada Islam mahupun bukan Islam perlu menghormati di antara satu sama lain dan tidak menjadikan pengharaman arak sebagai isu politik ataupun punca pencetus ketikdakharmonian dalam masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Musaadah Yadim Melaka di Kompleks Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Baru, di sini hari ini.
Hadir sama Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Halim Tawil dan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik.
Terdahulu, kerajaan tidak menolak kemungkinan lebih banyak negeri yang mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka.
DBKL mengeluarkan garis panduan Lesen Minuman Keras (LMK) menetapkan 'hard liqour' (minuman keras yang memabukkan) tidak dibenarkan dijual di kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina bermula 1 Oktober 2021.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, selain daripada tuntutan agama, ia adalah suara masyarakat, termasuk bukan beragama Islam.
Sementara itu, Nasrudin berkata, Yadim bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi di bawahnya akan terus peka dan prihatin terhadap bencana yang berlaku di negara ini seperti ribut, banjir dan sebagainya bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang terjejas untuk meringankan beban.
Menurutnya, setakat ini Yadim juga memperuntukkan hampir RM1.5 juta untuk membantu masyarakat terutama golongan yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan banjir.
"Sasaran Yadim terbuka kepada semua keadaan bencana dan setiap kawasan atau daerah kita akan sampaikan kit makanan yang dianggarkan berjumlah RM200 bagi setiap penerima," katanya.