Zimbabwe tanpa legenda Mugabe

Iklan
Bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe meletakkan jawatan ekoran tindakan tentera mengambil alih kuasa di negaranya. - Foto AFP

BEKAS pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe telah meletakkan jawatan pada 21 November 2017 sekali gus menyebabkan pemerintahan kuku besi yang dilaksanakan selama hampir empat dekad di negaranya turut berakhir.

Peletakan jawatannya dibuat beberapa hari selepas kereta-kereta kebal tentera bergerak ke ibu kota negara itu, Harare dengan puluhan ribu orang bersorak kegembiraan berikutan pengundurannya.

Iklan
Iklan

Mugabe kemudian meninggal dunia ketika berumur 95 tahun di Hospital Gleneagles, Singapura pada tahun 2019 dengan pelbagai spekulasi tentang penyakitnya tersebar menerusi media.

Beliau yang meletakkan jawatan selepas memerintah selama 37 tahun dilaporkan kerap mendapatkan rawatan perubatan di Singapura yang terletak kira-kira lebih 8,000 kilometer dari negaranya.

Iklan

Tokoh kontroversi itu dikatakan keluar dan masuk ke hospital tersebut untuk mendapatkan rawatan manakala seorang anaknya dikatakan belajar di Singapura.

Penyakit sebenar yang dihidapi oleh Mugabe masih tidak diketahui kerana pihak pengurusan hosiptal tersebut enggan memberikan maklumat lanjut kerana menghormati Mugabe dan keluarganya.

Iklan

Penggantinya ketika ini ialah Presiden Emmerson Mnangagwa yang pernah menganggapnya sebagai ikon kebebasan tetapi tidak mengulas lebih lanjut tentang apa yang dimaksudkannya itu.

Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa berdepan cabaran terbesar dalam mentadbir Zimbabwe yang mengalami masalah krisis ekonomi yang teruk ketika ini. - Foto AFP

Bagaimanapun, setelah Mnangagwa yang pernah menjadi Naib Presiden ketika pemerintahan Mugabe dan kini memerintah selama tiga tahun berikutan peletakan ikon kontroversi itu, harapan untuk melihat perubahan besar berlaku di Zimbabwe masih pudar.

"Tidak ada apa-apa yang berubah. Banyak perkara yang menjadi lebih buruk," kata Ibbo Mandaza iaitu Ketua Siri Ekonomi dan Politik Selatan Afrika yang beribu pejabat di Harare kepada AFP.

"Lihatlah tahap kemiskinan. Lihatlah kepada masalah penindasan. Perkara-perkara itu menjadi lebih buruk," tambah Mandaza yang mengulas tentang negaranya yang kaya dengan emas itu.

Mnangagwa yang berusia 78 tahun dan mempunyai nama jolokan sebagai Garwe atau Ngwena yang bermaksud buaya kerana kepintarannya dalam berpolitik menjadi Presiden pada 24 November 2017 berikutan peletakan jawatan Mugabe.

Mugabe meletakkan jawatan ekoran tindakan tentera mengambil alih kuasa dan tunjuk perasaan besar-besaran selepas beliau memecat Mnangagwa yang merupakan Naib Presidennya bagi tempoh yang lama.

Pemecatannya didakwa dilakukan selepas isteri Mugabe, Grace dilaporkan menyatakan Mnangagwa memecah-belahkan parti Zanu-PF dan berhasrat mahu menggantikan suaminya sebagai Presiden Zimbabwe.

Bagaimanapun, selepas mendapat kuasa, Mnangagwa yang merupakan aktivis politik dan pernah menjadi Menteri Keselamatan selepas negaranya mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1980 pernah berjanji untuk memperbaiki kedudukan ekonomi di negara miskin itu.

Kadar tukaran mata wang asing jatuh ketika di zaman pemerintahan Mugabe, kadar infalsi yang tinggi, kebanyakan penduduk tidak mampu membeli barangan keperluan dan ketiadaan banyak pekerjaan merupakan masalah yang perlu diselesaikan Presiden itu.

Zimbabwe pernah mencatatkan kadar inflasi pada tahap 785.6 peratus pada Mei lalu manakala gaji gurunya yang paling rendah ialah lebih 18,000 dolar Zimbabwe (RM898) sebulan dan gaji kakitangan kerajaan paling rendah ialah 14,500 dolar Zimbabwe (RM723), lapor akhbar Herald baru-baru ini.

Zimbabwe tidak mengalami perubahan ekonomi yang diharapkan selepas pemimpinnya, Robert Mugabe meletakkan jawatan sebagai Presiden pada tahun 2017. - Foto AFP

Berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia, kadar pertumbuhan ekonomi negara itu dijangka mencatatkan 4.5 peratus tahun ini dan berkembang menjadi 7.4 peratus pada tahun depan.

Bagaimanapun, kumpulan pemantau hak-hak asasi manusia, Projek Keamanan Zimbabwe berkata, sejak November 2017, ia telah mendokumentasikan kira-kira 7,962 kes penderaan termasuk penculikan kira-kira 100 aktivis dan tokoh pembangkang yang disyaki dilakukan oleh ejen-ejen kerajaan atau para penyokong kerajaan.

Penyalahgunaan hak-hak asasi manusia adalah lebih menggerunkan, kata aktivis hak asasi manusia Zimbabwe, Jestina Mukoko kepada AFP.

Pada tahun 2018, enam orang ditembak mati apabila askar-askar cuba menyuaraikan protes berhubung keputusan pilihan raya yang lewat diumumkan.

Lima bulan kemudian, 17 orang lagi terbunuh selepas pihak tentera dikerah menyuraikan tunjuk perasaan berikutan kenaikan harga minyak.

Pakar sains politik di Universiti Zimbabwe, Eldred Masunungure berkata, keadaan di negaranya yang tidak stabil merupakan satu norma baharu ketika ini.

"Kami pernah tiba di persimpangan ini (pelbagai krisis berlaku di negara ini) banyak kali sebelum ini dan negara ini tidak pun pernah runtuh," katanya kepada AFP. - Agensi