RANTAU PANJANG - Lebih 4,000 penduduk di kawasan ini perlu bersiap sedia untuk berdepan banjir susulan air Sungai Golok sudah berada pada paras amaran.
Menurut portal infobanjir.water.gov.my setakat jam 12 malam tadi menunjukkan bacaan air Sungai Golok berapa pada 8.06 meter sekali gus sudah melepasi paras berjaga-jaga iaitu 7 meter.
Peningkatan mendadak paras air itu dipercayai akibat hujan yang kadang-kala lebat sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati sudah ada penduduk yang mengambil langkah awal dengan menyimpan barangan berharga ke tempat lebih tinggi.
Ketua Balai dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Imran Ismail berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir tahun ini.
"Tugas menyelamat kali ini agak mencabar memandangkan negara sedang berdepan penularan koronavirus (Covid-19).
"Bagaimanapun, anggota pasukan penyelamat sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk normal baharu itu,” katanya.
Menurutnya, beliau berharap orang ramai dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Beliau berkata, semua mangsa banjir akan menjalani saringan suhu badan dan sekiranya melebihi 37 darjah celcius mereka akan diasingkan.
Tambah Imran, pengasingan itu salah satu usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19.
Katanya, beliau berharap penduduk dapat memberikan kerjasama penuh dengan tidak menyembunyikan maklumat kesihatan sekiranya mereka mempunyai gejala atau pulang dari kawasan zon merah.
"Terus terang kerana ia akan melancarkan lagi tugas kami, malah kita dapat bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Imran berkata, pihaknya sudah mengenalpasti lokasi terawal dilanda banjir sekiranya paras air Sungai Golok meningkat.
Katanya, Kampung Kubang Chenok menjadi penanda aras banjir di Rantau Panjang.
"Jika air Sungai Golok mencecah 8.9 meter, Kubang Chenok akan menjadi lokasi pertama dilanda banjir di sini. Penduduk di kawasan lain boleh bersedia untuk berpindah,” kata beliau lagi.