Kapal tangki minyak meletup di pelabuhan Arab Saudi

Iklan
Gambar fail menunjukkan kapal Agrari yang dikendalikan oleh syarikat TMS Tankers dari Greece.- Foto: Shipspotting.com

RIYADH - Satu letupan berlaku ke atas sebuah kapal tangki minyak di pelabuhan Arab Saudi iaitu di Shuqaiq di Laut Merah yang operasi pelayarannya dikendalikan oleh sebuah syarikat dari Greece semalam, kata beberapa pegawai Greece.

Letupan itu menyebabkan perikatan tentera yang diketuai Riyadh menyalahkan para pemberontak Yaman yang terlibat dalam perang saudara di negara tersebut kerana melakukan serangan berkenaan.

Iklan
Iklan

Kapal tangki minyak yang terlibat dalam serangan itu didaftarkan di Malta dan bernama Agrari.

Kejadian berlaku selepas terjadinya satu siri serangan oleh para pemberontak yang mempunyai kaitan dengan Iran di kemudahan infrastruktur minyak Arab Saudi sekali gus meningkatkan kebimbangan tentang bahaya kempen ketenteraan diketuai Arab Saudi selama lima tahun di Yaman.

Iklan

Kapal tangki itu diserang oleh"sumber yang tidak diketahui" ketika ia sedang bersedia untuk berlepas dari pelabuhan Shuqaiq di Laut Merah, kata pengendalinya yang berpangkalan di Greece, TMS Tankers.

Bagaimanapun, ia berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Iklan

Menurut TMS Tankers, satu siasatan sedang dilakukan selepas pihak berkuasa termasuk anggota-anggota pasukan pengawal pantai menaiki kapal berkenaan.

Terdapat 25 orang menaiki kapal itu termasuk tujuh warga Greece, menurut seorang pegawai di Kementerian Dagang Marin Greece.

"Letupan itu berlaku kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan tetapi puncanya masih belum diketahui," kata seorang pegawai kementerian.

Kapal tersebut tidak membawa sebarang muatan apabila ia terbakar, tambah kementerian tersebut sekali gus menafikan bahawa tumpahan minyak akan berlaku.

Tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi mengesahkan bahawa sebuah kapal komersial mengalami kerosakan kecil dalam kejadian yang dianggapnya sebagai 'tindakan pengganas' yang gagal.

Tanpa menamakan kapal berkenaan, kata kementerian itu, kejadian tersebut berlaku apabila bot yang dipenuhi bahan letupan yang dilancarkan oleh para pemberontak Houthi dari Yaman dipintas sebelum ia dimusnahkan.

Kapal komersial itu kemudian rosak ekoran terkena serpihan daripada bot tersebut yang terbakar semasa dimusnahkan, kata tentera perikatan berkenaan yang kenyataannya disiarkan oleh stesen televisyen Al-Ekhbariya.

Serangan itu menyebabkan sebuah lubang terbentuk pada bumbung kapal tangki minyak tersebut sekali gus menyebabkan letupan dan kebakaran.

Ia berlaku selepas para pemberontak yang disokong oleh Iran meningkatkan serangan ke atas negara jirannya, Arab Saudi bagi membalas dendam terhadap kempen ketenteraan di Yaman.

Pada Isnin lalu, para pemberontak Houthi menyatakan mereka telah menyerang sebuah loji yang dikendalikan oleh syarikat gergasi tenaga, Saudi Aramco di Jeddah dengan peluru berpandu Quds-2.

Pada Selasa lalu, tentera perikatan berkata, ia telah memusnahkan lima periuk api yang terapung dan diletakkan oleh para pemberontak Houthi di Laut Merah dan menambah, taktik sedemikian memberikan"ancaman serius kepada keselamatan maritim."

Arab Saudi telah berulang kali menuduh Iran membekalkan senjata canggih kepada kumpulan Houthi tetapi ia dinafikan oleh Tehran.

Negara itu dipercayai terperangkap dalam operasi ketenteraan di Yemen sejak para pemberontak Houthi mengambil alih ibu kota Sanaa pada tahun 2014. - AFP