Inisiatif itu adalah selaras dengan sokongan dan komitmen orang awam yang amat memberangsangkan sempena Kempen Pengumpulan E-Waste Dari Isi Rumah bermula pada 21 September hingga 12 November lalu, di seluruh negara.
Sebanyak 307,287.93 kilogram (307MT) e-waste telah dikumpulkan sepanjang tempoh tersebut dan dianggarkan jumlah pengumpulan e-waste akan terus meningkat sehingga hujung November ini.
Peningkatan trend pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari isi rumah telah menjadi antara isu utama di peringkat global, perkembangan teknologi dan kebergantungan pengguna terhadap peralatan elektrik dan elektronik, peningkatan populasi dan taraf hidup masyarakat serta urbanisasi telah menyebabkan kepada penjanaan e-waste negara.
Sebagai agensi peneraju yang bertanggungjawab dalam pengurusan buangan terjadual di Malaysia, JAS dengan bantuan teknikal daripada Kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) telah membangunkan Sistem Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik Dari Isi Rumah di Malaysia.
Enam jenis e-waste
Melalui pelaksanaan sistem ini, enam jenis e-waste utama adalah dikategorikan sebagai item kawalan iaitu televisyen, peti sejuk, penghawa dingin, mesin basuh, komputer peribadi dan telefon bimbit.
Sistem ini menerapkan konsep ‘extended producer’s responsibility’ dan ‘shared responsibility’ yang mana semua pihak bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing.
Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggalakkan orang awam untuk melupuskan e-waste secara mesra alam agar ia tidak mendatangkan sebarang impak negatif kepada alam sekitar.
Orang awam disarankan untuk menghantar e-waste dari isi rumah ke mana-mana pusat pengumpulan yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Penghantaran e-waste boleh dibuat melalui 2 kaedah iaitu:
1. Secara sendiri dengan menghantarnya terus ke pusat pengumpulan e-waste yang berdaftar dengan JAS atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh JAS.
2. Menghubungi mana-mana pusat pengumpulan yang menawarkan servis pengambilan e-waste dari rumah. Terdapat 126 pusat pengumpulan e-waste dan 42 kemudahan pemerolehan kembali e-waste di Malaysia.
Senarai pusat pengumpulan dan kemudahan pemerolehan kembali serta maklumat perkhidmatan yg ditawarkan boleh dicapai melalui laman sesawang di http://www.doe.gov.my/hhew/where-can-i-dischargerecycle-e-waste/.
Laksanakanlah tanggungjawab anda"Alam Sekitar Tanggung-jawab Bersama”"E-Waste Dikitar, Bumi Terpelihara”.