KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan memaklumkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 akan diolah mengikut acuan Malaysia bagi memelihara, mengukuh dan meningkat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique bagaimanapun berkata, pelan itu masih di peringkat akhir sebelum ia siap sepenuhnya.
Menurutnya, pelan yang sedang dirangka itu bersifat khusus dan konkrit agar ia dapat meneruskan agenda perpaduan negara.
"PTPN menggariskan program dan aktiviti khusus disusun secara jelas dan kohesi merentasi agensi kerajaan untuk dilaksanakan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang bagi tempoh lima tahun bermula Januari 2021 hingga 2025.
"PTPN ini memperkenalkan pelan baharu berasaskan perubahan semasa masyarakat sebagai teras PTPN; menerapkan Rukun Negara; strategi tindakan konkrit dan khusus dirancang dan dilaksanakan dalam tempoh tertentu bagi memudahkan pemantauan berkala dilakukan.
"PTPN juga menjadi panduan dan rujukan bagi setiap individu serta agensi mengenai sebuah pelan tindakan bagi merealisasikan usaha ke arah perpaduan negara dan terakhir ialah memudahkan tindakan intervensi dilakukan bagi maksud penambahbaikan berterusan," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Halimah berkata, PTPN bersifat spesifik, inklusif dan holistik yang bakal memandu pelaksanaan hala tuju negara merentasi pelbagai kementerian serta agensi.
"PTPN ini diharapkan dapat menjiwai semangat terkini dalam negara dan masyarakat semasa.
"Pelan ini diolah dan disesuaikan dengan ‘acuan Malaysia’ yang mengutamakan individu, keluarga dan komuniti yang tersulam dalam sejarah, struktur sosial serta biografi,” katanya.