Bekas banduan rempuh kenderaan polis, gagal larikan dadah RM74,900

Iklan
Mohd Zaki (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin serta syabu yang dirampas dari suspek di Kampung Malau, Jitra pada Selasa lalu.

ALOR SETAR - Seorang pekebun yang merupakan pengedar dadah berjaya dicekup polis selepas gagal dalam cubaan melarikan diri dengan merempuh kenderaan polis berulang kali di Kampung Malau, Jitra Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar berkata, suspek yang berusia 36 tahun itu baharu sahaja bebas dari penjara awal tahun ini namun kembali menjadi dalang menjual dadah untuk pasaran tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lelaki yang telah berkahwin itu ditahan semasa berada di dalam kereta jenis Perodua Myvi di hadapan sebuah rumah di kampung tersebut pada jam 5.30 petang.

"Semasa ditahan, pergelutan turut berlaku namun suspek berjaya ditangkap. Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu polis menjumpai satu beg galas di tempat duduk penumpang hadapan.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut dalam beg galas itu mendapati terdapat satu bungkusan lut sinar dan 16 peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 1.6 kilogram (kg) serta 11 peket lut sinar berisi dadah jenis disyaki heroin seberat 1.5 kg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, nilai rampasan dadah jenis heroin serta syabu itu bernilai RM74,900.

Iklan

Katanya, polis juga turut menyita sebuah kereta jenis Proton Exora, seutas rantai dan loket dipercayai emas serta wang tunai bernilai RM1,100.

"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 1 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.