HULU TERENGGANU - Sebahagian besar penduduk di kawasan berisiko banjir di Hulu Terengganu sudah siap sedia berpindah walaupun daerah itu satu-satunya yang belum dilanda banjir.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kampung di daerah itu mendapati, kebanyakan kediaman khususnya yang berhampiran sungai telah menyediakan perahu masing-masing bagi memudahkan urusan pemindahan sekiranya air naik secara mendadak.
Penduduk di Kampung Bukit Tadok, Mohd Kamarzaman Isa, 46, berkata, keluarganya sudah mula menyimpan barang di tempat tinggi sejak September lagi bagi menghadapi musim tengkujuh, selain mempersiapkan perahu bagi membolehkan dia, isteri dan dua anaknya berpindah bila-bila masa.
"Kalau musim tengkujuh, memang wajib berpindah. Biasalah, memang orang di sini tahu suasana kalau musim tengkujuh dan setiap rumah memang akan letak barang-barang di tempat tinggi lebih awal.
"Anak-anak pula kita sediakan jaket keselamatan, sebab biasalah kalau air naik mereka suka main jadi kita ambil langkah berjaga-jaga. Pihak berwajib juga memang sentiasa berhubung dengan penduduk kampung dan membuat pemantauan.
"Seingat saya, banjir paling buruk di sini ialah pada tahun 1986, semasa itu kampung di seberang sungai terpaksa berpindah tengah malam kerana air terlalu deras dan mendadak,” katanya.
Hasmah Osman, 57, pula berkata, banjir sudah menjadi rutin baginya dan penduduk di Kampung Bukit Tadok kerana setiap tahun kampung itu dilanda banjir dan mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagaimanapun katanya, tahun ini agak berbeza kerana kampung itu masih ‘selamat’ dan tiada pemindahan setakat ini.
"Walaupun belum banjir, kita tetap bimbang dan sedia lebih awal. Mana-mana barang yang boleh simpan dulu, kita simpan.
"Baru-baru ini air ada melintas jalan tapi tahun ni tiada banjir. Saya berdoa minta tiada banjir berlaku tahun ini,” katanya.
Fatimah Idris, 58, pula mengakui perasaan cemas itu tetap ada kerana bimbang air akan naik secara mendadak.
"Semua kain baju saya bungkus dan letak di atas almari siap-siap. Tapi tahun ini, Alhamdulillah kerana belum banjir. Kalau tahun-tahun lepas, air naik sehingga satu meter di dalam rumah.
"Perabot di rumah juga banyak yang rosak, tikar di rumah akan ditukar dua tahun sekali. Habis hingga RM200 ke RM300 juga. Kalau campur barang rosak, tidak kurang RM1,000 habis duit sebab barang rosak,” katanya.