Bantu penerima bantuan untuk terus maju

Iklan
SYED AZMI

SHAH ALAM - Terdapat lima perkara asas dalam membantu golongan yang memerlukan iaitu kewangan, ilmu, masa, tenaga dan doa tetapi kita terlupa atau tidak tahu hendak menggunakannya kerana taksub kepada kebendaan iaitu sesuatu yang berubah, kata aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.

Beliau berkata, tidak semestinya kewangan sahaja boleh membantu masyarakat kerana empat perkara lain adalah kuasa yang ada pada semua orang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai pemberi bantuan, mereka tidak sekadar hanya memberi bantuan dan berlalu pergi, tetapi mereka perlu mempunyai ilmu dan adab untuk mengelakkan rasa riak yang boleh menimbulkan bahaya kepada mereka sendiri.

"Saya hendak mendidik orang besar (penerima bantuan), saya kena lagi kasar kerana tidak mahu melahirkan penagih bantuan. Saya tidak mahu Malaysia dikenali sebagai kerajaan yang berkebajikan.

Iklan

"Kita membina rakyat yang tidak boleh berdikari sendiri dan menunggu bantuan duit sahaja. Kita ada akal, sepatutnya kita maju bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 28 bertajuk Sedekah: Andai Aku Tahu yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Iklan

Wacana itu turut menampilkan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang mengalunkan bacaan surah Al Munafiqun.

Syed Azmi berkata, sememangnya, rakyat Malaysia dermawan dan akan timbul masalah jika kita tidak mendidik masyarakat dengan ilmu.

"Apa yang penting ialah memahami apa yang disedekahkan itu merupakan pelaburan kepada keluarga yang diberi menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

"Malahan, mengajar penerima menjadi hebat dan mereka bersama-sama melahirkan lebih ramai yang hebat seperti mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Azmi berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan bantuan, pihaknya takut penerima bantuan menjadi penagih bantuan dan tidak mahu berusaha sekali gus menyebabkan anak-anak akan terabai.

Bagaimanapun katanya, pemberi bantuan perlu menghormati penerima bantuan dan membantu mereka untuk lebih berdaya maju.