Peruntukan RM14 juta rancak sektor pelancongan Johor

Iklan
Pulau Rawa.- Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI - Belanjawan Johor 2021 memperuntukkan RM14 juta untuk Tourism Johor bagi melaksana beberapa inisiatif memacu dan merancakkan semula sektor pelancongan pasca koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, ini kerana sektor berkenaan paling terjejas akibat pandemik tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pada masa sama Pelan Induk Pelancongan Johor 2014-2023 juga akan diteliti semula bagi memastikan hala tuju sektor pelancongan dapat dirancang dengan lebih tersusun dan mengikut trend semasa.

"Sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk membangunkan Johor Tourism Interchange (JTI) bagi mentransformasikan ekonomi digital pelancongan dan akan menghubungkan semua pemilik produk, operator pelancongan serta penggiat industri dalam satu platform digital marketplace.

Iklan

"Baucar Pelancongan berjumlah RM1.5 juta pula disediakan untuk merancakkan semula segmentasi penginapan serta ‘shopping and retail’ terpilih di Johor," katanya semasa membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM5 juta bagi membangun dan menaik taraf prasarana pelancongan di negeri ini merangkumi kemudahan asas pelancongan di daerah, homestay dan desa stay serta taman negara.

Iklan

Katanya, beberapa infrastruktur pelancongan lain akan dibangunkan dan dibaik pulih termasuk menyediakan RM450,000 bagi pembinaan infrastruktur dan pembangunan produk ecotourism di Hutan Taman Negeri Gunung Arong.

"Kedua, peruntukan RM350,000 untuk pembangunan pusat pentadbiran dan kemudahan infrastruktur di Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara.

"Ketiga, RM500,000 bagi pengurusan dan pembangunan trek pendakian gunung di Johor dan keempat, RM386,000 untuk membangunkan trek sukan lasak,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan Johor akan menubuhkan Digital Johor Corporation (DJ Corp) bagi memperkasakan Agenda Johor Digital.

Beliau berkata, DJ Corp akan bertindak sebagai institusi pelaksana dan penyelaras bagi Agenda Johor Digital merentasi semua pemegang taruh yang terlibat.

"Antara strategi yang diambil termasuk menjadikan kawasan Medini dan Educity di Iskandar Puteri sebagai Hab Digital Johor bagi merangsang aktiviti ekonomi digital dengan memberi pelbagai insentif kepada individu dan pemain industri," katanya.

Kerajaan negeri turut menubuhkan Majlis Digital Johor yang berperanan merangka pelan pembangunan strategik dan hala tuju digital negeri serta merangka Pelan Induk Digital Negeri Johor yang merangkumi aspek tranformasi sektor kerajaan, pemerkasaan industri dan pembudayaan dalam kalangan masyarakat menjelang 2030.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta