RM1.57 bilion untuk petani, pesawah, nelayan, penternak

Iklan
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meneruskan pemberian bantuan, insentif dan subsidi kepada semua pihak berkepentingan seperti petani, pesawah, nelayan serta penternak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.57 bilion pada tahun 2021.

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan meneruskan pemberian bantuan, insentif dan subsidi kepada semua pihak berkepentingan seperti petani, pesawah, nelayan serta penternak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.57 bilion pada tahun 2021.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, inisiatif itu seperti saranan Ahli Parlimen Pasir Salak, Ahli Parlimen Kangar, Ahli Parlimen Parit dan Ahli Parlimen Selangau supaya pelaksanaan program input serta output pertanian bersubsidi berkaitan industri padi dan beras diteruskan pada tahun 2021.

Iklan
Iklan

Menurutnya, subsidi dan insentif tanaman padi berjumlah RM960 juta termasuk Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (RM40 juta) serta Subsidi Harga Padi (RM570 juta) kepada pesawah bagi musim penanaman tahun hadapan di seluruh negara juga tetap diteruskan dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi pesawah.

"Keseluruhan subsidi dan insentif bagi sektor padi ini akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara.

Iklan

"Kadar bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) juga ditingkatkan kepada RM300 melalui Belanjawan 2021 yang akan memanfaatkan 40,000 nelayan," katanya pada penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pada masa yang sama insentif dan subsidi lain masih terus diberikan kepada masyarakat nelayan seperti Insentif Hasil Tangkapan Ikan, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol serta Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

Iklan

"ESHN adalah sebahagian daripada Peruntukan Mengurus (OE), bukannya melibatkan dana bagi membina jeti seperti yang dinyatakan Ahli Parlimen Port Dickson.

"Beberapa ahli Parlimen memohon tambahan peruntukan bagi pembaikan ban pertanian, jalan ladang, naik taraf pasar tani, atau permohonan pembinaan jeti baru, institut latihan baru, pusat pengumpulan hasil pertanian baru dan projek jelapang padi di kawasan Parlimen masing-masing.

Menurutnya, kementeriannya akan memberi pertimbangan sewajarnya berdasarkan keperluan setempat dan juga kemampuan kewangan semasa tentang perkara itu.

Berhubung isu pengedaran benih padi sah seperti yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen, Dr Ronald berkata, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan dilantik sebagai pemborong tunggal di bawah program Insentif Benih Padi Sah untuk membuat pembekalan terus kepada pesawah.

"Mekanisme ini akan dapat menyelesaikan masalah manipulasi dan eksploitasi dalam pembekalan benih padi sah. YB Pasir Salak juga membangkitkan isu kadar potongan yang dikenakan dalam pemutuan padi.

"Kerajaan memperkenalkan Kaedah Pemutuan Sebenar melalui prosedur operasi standard (SOP) yang telah dibangunkan oleh kementerian dengan kerjasama SIRIM," katanya.

Menurutnya, SOP itu bagi memastikan padi dijual adalah padi bersih dan berkualiti serta dapat memastikan kerajaan tidak membayar Subsidi Harga Padi berdasarkan padi kasar mengandungi segala komponen tidak diingini sekali gus mengelakkan ketirisan pembayaran subsidi kerajaan.

Dalam pada itu, katanya, semua kilang padi termasuk Bernas dan swasta perlu melaksanakan pemutuan padi berdasarkan SOP tersebut.

Mengenai Belanjawan 2021, beliau menegaskan, secara keseluruhannya peruntukan yang diluluskan kepada kementerian itu hanya menurun sebanyak RM0.10 bilion atau 2 peratus berbanding tahun 2020.

"Ia melibatkan perbelanjaan mengurus dengan peruntukan yang diluluskan menurun sebanyak RM0.25 bilion atau 7 peratus berbanding tahun 2020.

"Penurunan di bawah perbelanjaan mengurus disebabkan pengurangan terutamanya bagi peruntukan yang melibatkan emolumen dan pembelian aset manakala bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan diluluskan bertambah sebanyak RM0.15 bilion atau bersamaan dengan 11 peratus berbanding 2020," katanya.

Sementara itu, Dr Ronald turut memaklumkan walaupun terdapat pengurangan bagi peruntukan mengurus, MAFI akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Belanjawan 2021 dengan efektif bagi memastikan sektor agro makanan terus positif di setiap peringkat rantaian makanan.

Katanya, peruntukan yang telah diluluskan kepada MAFI juga mencukupi bagi tujuan pelaksanaan projek pembangunan sedia ada dan baharu.