Jasad hanyut 17 kilometer

Iklan
Ibu mangsa setiap hari menunggu perkembangan operasi pencarian anaknya di tebing sungai.

IPOH - Jasad kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Chepor di Kampung Chepor Dalam Selasa lalu telah ditemukan hari ini kira-kira 17 kilometer dari lokasi dia hilang.

Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry, 10, ditemukan pasukan rafting Kamparado yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada jam 2.55 petang tadi di Sungai Kinta berhampiran Kawasan Perindustrian Lahat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap dan tersangkut di kawasan semak samun tepi sungai berkenaan dengan beberapa kesan cedera di bahagian kepala dan badan.

"Walaupun sudah masuk hari ketiga, ibu mangsa berjaya membuat pengecaman ke atas mayat terbabit.

Iklan

"Mangsa dijumpai masih lengkap berpakaian, kesan kecederaan itu dipercayai datang atas faktor pelbagai disebabkan keadaan aliran sungai yang deras," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Iklan

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan dengan penemuan ini, operasi menyelamat dihentikan serta-merta," katanya.

Gerakan mencari dan menyelamat ini melibatkan 56 anggota termasuklah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Ipoh, dan Batu Gajah, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela).

Operasi turut menerima bantuan dua bot dan tiga kayak yang dikendalikan oleh 10 individu dalam pasukan rafting Kamparado bermula dari Sungai Pari sehingga Sungai Kinta.

Ibu mangsa setiap hari menunggu perkembangan operasi pencarian anaknya di tebing sungai.

Ibu mangsa, Maizatul Nadia Zulkifli berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa anak kedua daripada tiga beradik itu.

"Dapat jasad pun tidak mengapa, dapat juga saya uruskan pengebumiannya elok-elok, apa-apa pun kami terima kejadian ini dengan reda," katanya.

Dia yang setiap hari menunggu perkembangan operasi di tebing sungai menzahirkan rasa terima kasih kepada pasukan penyelamat termasuk penduduk kampung yang bertungkus-lumus menjalankan operasi pencarian.

"Hanya tuhan dapat membalas jasa mereka, berkat doa semua, anak saya ditemui pada hari ketiga ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Klebang terjatuh ketika mahu menyelamatkan rakannya yang sedang mengambil selipar sebelum hanyut dibawa arus deras.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak jatuh sungai ketika selamatkan rakan

'Saya nampak dia hanyut'