KUALA LUMPUR - Transparency International Malaysia (TI-M) mendapati 71 peratus rakyat Malaysia berpendapat rasuah di pihak kerajaan adalah masalah serius, manakala 67 peratus berpandangan usaha kerajaan membanteras rasuah harus dipuji.
Memperincikan dapatan peratusan rasuah dalam kerajaan sebagai serius, Presidennya Dr Muhammad Mohan berkata, daripada semua institusi awam, ramai berpendapat bahawa ahli Parlimen (36 peratus), polis (30 peratus) dan pegawai kerajaan (28 peratus), menduduki ranking teratas persepsi rasuah.
Iklan
Iklan
Sementara berhubung peratusan tinggi mengatakan usaha kerajaan banteras perlu dipuji, katanya dapat dilihat bahawa maklum balas positif itu berpunca daripada tindakan agresif beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polisi yang dilaksanakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) seperti Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
"Rakyat masih berharap dan tidak hilang kepercayaan terhadap penguatkuasaan undang-undang serta perkhidmatan awam, dan percaya rasuah masih boleh dihapuskan.
"Namun begitu, terdapat penurunan terhadap kepercayaan terhadap ahli politik dan pegawai mereka sejak akhir-akhir ini, berkemungkinan besar berpunca daripada ketidakstabilan politik, lompat parti, tuduhan politik wang dan skandal rasuah, melibatkan tokoh politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad, dapatan itu merupakan hasil daripada tinjauan yang dijalankan dalam tempoh Julai 2019 hingga Jun 2020 menerusi Global Corruption Barometer (GCB) Asia 2020, pada tahun yang menyaksikan Malaysia berada di bawah pemerintahan dua kerajaan berbeza.
Katanya, Transparency International hari ini melancarkan tinjauan GCB Asia 2020, yang merangkumi 17 negara dengan seramai 20,000 responden. - Bernama