TANJUNG MALIM - Polis terpaksa melepaskan beberapa tembakan ke arah sebuah kereta dipandu seorang penagih dadah selepas cuba melanggar anggota polis di hadapan Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang di sini semalam.
Bagaimanapun, lelaki berusia 35 tahun itu akhirnya berjaya ditahan selepas kereta jenis Proton Wira yang dipandunya terbabas.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek pada awalnya dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan Pemantauan Covid-19 Balai Polis Slim River yang membuat pemeriksaan di Jalan Kuala Slim kira-kira jam 1.45 petang.
"Semasa pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju keretanya ke arah pekan Slim River dan polis mengejarnya hingga ke politeknik tersebut.
"Salah seorang anggota pasukan peronda polis (MPV) yang turut membantu memberi amaran supaya berhenti, namun suspek terus memecut dan cuba melanggar anggota mengakibatkan beberapa das tembakan dilepaskan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu beg galas yang mengandungi plastik lut sinar dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat kesalahan jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek direman selama lima hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan," katanya.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.