KLANG - Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat berjaya menggagalkan cubaan lelaki untuk bunuh diri dengan membakar rumahnya di Bandar Puteri, di sini, pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.48 pagi tadi selepas lelaki berusia 39 tahun itu membuka injap tong gas petroleum cair (LPG).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas, A. Romzi Abu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis sebelum lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Tiba di lokasi pihak polis memaklumkan seorang lelaki mengamuk dan cuba membakar diri dalam rumah teres dua tingkat dengan membuka injap gas.
"Tabung gas itu diletakkan di hadapan pintu di ruang tamu tingkat bawah," katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya mengambil masa lima minit untuk memujuk lelaki terbabit.
"Lelaki dipercayai mempunyai masalah mental itu kemudian diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat sepenuhnya jam 12.32 tengah hari," katanya.