Hubungan AS-China mungkin berubah

Iklan
Biden dijangka dapat menjernihkan hubungan AS-China.

PAKAR-PAKAR perhubungan antarabangsa menyatakan kepimpinan Joe Biden daripada parti Demokrat sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pada Januari depan akan melaksanakan dasar yang agresif dengan China.

AS dijangka menitikberatkan dasar-dasar ketat seperti perdagangan, hak asasi dan keselamatan dengan negara yang mula melaksanakan pemerintahan komunis itu sejak tahun 1940-an lagi.

Iklan
Iklan

Ketika ini, Presiden AS, Donald Trump yang mula memerintah negara itu sejak Januari 2017 lalu dan bakal berakhir pada 20 Januari depan mempunyai hubungan yang tidak mesra dengan China apabila beliau melaksanakan tarif ke atas barang dari negara tersebut.

Tidak dapat disembunyikan lagi apabila Trump daripada parti Republikan turut menyalahkan Beijing berikutan penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) yang kini menular ke hampir seluruh dunia selepas ia dikatakan bermula di Wuhan, China.

Iklan

Pengarah Pusat Dasar China, Adam Ni yang berpangkalan di Canberra, Australia berkata kepada AFP bahawa Presiden AS itu mempunyai dasar yang agresif terhadap China.

Biden (kiri) pernah mengkritik pemerintahan Presiden China, Xi Jinping dengan menganggapnya sebagai tidak demokratik. - Foto AFP

"Saya berpendapat, semasa Biden (menjadi Presiden AS) pula, kita akan melihat pendekatan yang lebih bijak dan lebih menumpukan (kepada sasaran) yang bukan sahaja tidak memfokuskan secara agresif tetapi juga menumpukan kepada persaingan jangka panjang," katanya.

Iklan

Kata beberapa penganalisis, hubungan antara Washington dengan Beijing adalah melibatkan dasar AS yang mahu memastikan keagungan mereka dalam bidang ketenteraan dan ekonomi serta melemahkan kebangkitan China.

Biden sebelum ini berjanji untuk tidak melaksanakan dasar Amerika didahulukan yang menyaksikan negara itu menarik diri daripada forum antarabangsa seperti menarik keanggotaan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Perjanjian Paris mengenai iklim dunia.

Anggota parti Demokrat dan bekas Naib Presiden AS itu yang memenangi pilihan raya Presiden AS dengan menewaskan Trump pada 3 November lalu dipercayai akan membina satu barisan hadapan dengan sekutu-sekutunya dari Eropah dan Asia Pasifik untuk menghadapi kebangkitan teknologi China.

Donald Trump

Seorang pakar perhubungan antarabangsa di Singapura pula meramalkan bahawa Beijing akan berdepan dengan lebih banyak cabaran ketika berdepan dengan pentadbiran baharu AS.

"Kami mahu menyaksikan lebih banyak dasar yang tersusun dan kemungkinan lebih banyak konfrontasi berhubung isu-isu geopolitik. Itu akan menyebabkan China menjadi gementar," kata Evan Resnick, seorang ahli akademik di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam, Institut Teknologi Nanyang, Singapura.

Hubungan antara AS dengan China dikatakan bermula sejak tahun 1760an lagi.

Sebuah kapal yang dikenali sebagai Empress of China menjadi kapal pertama belayar dari AS dan tiba di Guangzhou, China pada tahun 1784 dengan seorang bekas pegawai tentera, Samuel Shaw menjadi pegawai konsul tidak rasmi dilantik Kongres AS.

Pelayarannya itu membuka jalan bagi AS bagi memasuki perdagangan teh, tembikar dan sutera dengan China.

Sejak itu, perdagangan antara AS dengan China semakin berkembang sehingga negara China berjaya disatukan dan ditubuhkan pemimpin komunis negara itu, Mao Zedong pada 1 Oktober 1949.

Ketika AS di bawah pemerintahan Presiden ke-39, Jimmy Carter daripada parti yang sama dengan Biden mengumumkan bahawa pada sejak 1 Januari 1979 negaranya akan mengiktiraf secara rasmi Republik Rakyat China.

Mulai tahun-tahun seterusnya, hubungan antara kedua-dua negara tidak pernah akrab dan Biden juga pernah mengkritik dengan nada keras pentadbiran Presiden China, Xi Jinping pada Februari lalu dalam debat calon Presiden AS di peringkat parti Demokrat.

Dalam perdebatan itu, Biden menganggap Jinping tidak mempunyai ciri-ciri demokratik dan menyentuh tentang kedudukan umat Islam di Xinjiang.

Seorang Pengarah Projek Tenaga China, Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik, Washington D C, Bonnie Glaser berkata kepada AFP bahawa bakal Presiden AS itu dipercayai akan membina semula dasar-dasarnya tentang Hong Kong.

Katanya, beliau dipercayai tidak menarik semula dasar Trump yang menamatkan layanan istimewa perdagangan dan pengembaraan dengan Hong Kong ketika Beijing melaksanakan undang-undang baharu keselamatan.

Gambar fail menunjukkan sejumlah penunjuk perasaan menentang pelaksanaan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong. - AFP

Undang-undang baharu itu menjadi pertikaian antara AS dengan China apabila ia didakwa membataskan kebebasan bersuara.

Biden juga berdepan dengan cabaran untuk mengawal penularan Covid-19 yang telah membunuh lebih 260,000 penduduk Amerika berikutan cara Trump menangani penularan pandemik itu.

Bagaimanapun, di China, penyelidikan bagi mencari vaksin itu menunjukkan perkembangan yang pesat sekali gus memberi petanda mengenai pemulihan hubungan antara Washington dengan Beijing.

Rencana editorial portal berita Global Times baru-baru ini turut menyentuh tentang pemulihan hubungan antara kedua-dua negara itu.

Dalam rencana itu ia menyatakan kemungkinan perhubungan kedua-dua negara akan beralih daripada konfrontasi kepada kerjasama pragmatik apabila ia menyentuh tentang penentangan satu wabak (Covid-19). - Agensi