Jamin projek Hospital Kerian siap ikut jadual

Iklan
Abdul Yunus (tengah) teruja menyampaikan sumbangan kotak limau mandarin kepada penduduk Pekan Kuala Kurau tanpa mengira bangsa dan agama hari ini.

KUALA KURAU - Kerajaan Perak memberi jaminan akan memastikan perjalanan projek pembinaan Hospital Kerian yang sedang dilaksanakan ketika ini akan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, jaminan ini penting bagi meredakan kebimbangan rakyat Parlimen Parit Buntar susulan terdapat laporan berlaku permasalahan dalam projek pembinaan hospital itu dilaporkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sebenarnya sentiasa melaporkan perkembangan projek pembinaan Hospital Kerian dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kerian pada setiap bulan.

"Jadi, seperti dimaklumkan JKR Pusat sebelum ini, masalah kelewatan pembinaan Hospital Kerian hanya melibatkan satu peratus daripada jadual asal dan bukannya lima peratus seperti dilaporkan sebelum ini.

Iklan

"Kerajaan Perak bersedia membantu JKR dan semua pihak terlibat dalam memastikan projek pembinaan Hospital Kerian berjalan sebagaimana dirancang.

"Kita juga akan memberi jaminan projek mega itu akan disiapkan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada penghujung tahun 2020," katanya kepada media pada majlis pemberian sumbangan buah limau sempena perayaan Tahun Baharu Cina kepada penduduk Pekan Kuala Kurau dan Pekan Tanjung Piandang, di sini hari ini.

Iklan

Program itu turut disertai kepimpinan PH Parlimen Parit Buntar.

Abdul Yunus berkata, sejumlah 1,000 kotak limau mandarin diedarkan kepada penduduk sekitar Pekan Kuala Kurau dan Pekan Tanjung Piandang, tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurutnya, sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bagi tahun 2019 diharapkan mampu menjadi platform perpaduan dan penyatuan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini tanpa dikekang sentimen perkauman dan keagamaan.