KUALA LUMPUR - Aksi sekumpulan penunggang motosikal merakam aksi tunggangan berbahaya dan memuat naik di laman sosial mengundang padah apabila dicekup polis di sekitar ibu negara kelmarin.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, rakaman berdurasi tujuh minit 22 saat di YouTube itu diterima pihaknya pada jam 9 pagi yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara melulu dan berbahaya di Jalan Bunga Mawar 4, Taman Muda, Ampang.
Menurutnya, susulan itu, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman telah melakukan tangkapan bermula jam 12 tengah hari di sekitar Kuala Lumpur.
"Seramai lapan lelaki berusia lingkungan 26 hingga 37 tahun telah ditahan.
"Kita turut menyita motosikal ditunggang suspek jenis Kawasaki KLX450A, Demak DTM150, Kawasaki D-Tracker 250, Kawasaki KLX150, Husqvarna 450 dan Husqvarna 350," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, beberapa barangan lain turut dirampas antaranya topi keledar dan pakaian untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati, aksi itu dipercayai dilakukan pada 20 September lalu di mana kumpulan terbabit bertolak dari Ampang ke Kuala Klawang, Negeri Sembilan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.