MONTREAL - Hukuman seorang lelaki, Alexandre Bissonnette yang menembak mati enam orang beragama Islam di sebuah masjid di Quebec, Kanada pada tahun 2017 dikurangkan semalam kepada 25 tahun penjara.
Hukuman itu dikurangkan selepas sebuah mahkamah di negara itu memutuskan adalah tidak berperlembagaan untuknya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat.
Bissonnette yang akan berumur 31 tahun pada minggu depan dihukum sepanjang hayat dengan tidak diberikan parol pada Februari 2017.
Dalam satu keputusan sebulat suara, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan Quebec berkata, satu peruntukan Kod Jenayah yang diperkenalkan pada tahun 2011 dan membenarkan hakim untuk melaksanakan hukuman penjara sepanjang hayat bagi pelbagai kesalahan pembunuhan didapati menyalahi Piagam Hak-Hak Asasi Manusia serta Kebebasan Kanada.
Sebelum ini pihak pendakwa raya telah meminta hukuman penjara selama 150 tahun terhadap Bissonnette yang dianggap hukuman paling panjang di Kanada jika dilaksanakan manakala pihak pembela meminta dia dijel selama 25 tahun.
Bissonnette berumur 27 tahun ketika dia ditangkap berhubung pembunuhan tersebut.
Pada 29 Januari 2017, dia menyerbu sebuah masjid di Quebec dan melepaskan tembakan ke arah 40 lelaki dan empat kanak-kanak selepas waktu solat.
Lelaki tersebut dituduh melepaskan berpuluh-puluh tembakan dan kemudian mengisi peluru sepucuk pistolnya sekurang-kurangnya empat kali seperti dia sedang bermain satu permainan video, kata seorang saksi dalam perbicaraannya sebelum ini.
Enam orang terbunuh dan lima lagi cedera serius dalam kejadian itu.
Mangsa-mangsa tembakannya adalah terdiri daripada warga asing yang berhijrah ke Kanada iaitu dua rakyat Algeria, dua daripada Guinea, seorang rakyat Maghribi dan seorang lagi berasal dari Tunisia.
Bissonnette digambarkan sebagai seorang pelampau berkulit putih yang menentang penghijrahan umat Islam selepas dia ditangkap oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, dia didapati tidak menyertai mana-mana kumpulan pelampau kulit putih.
Jabatan Pendakwaan Jenayah Quebec berkata, ia sedang mengkaji keputusan mahkamah itu yang mungkin akan dibawa ke Mahkamah Agung Kanada.
Pengasas bersama masjid itu, Boufeldja Benabdallah menyatakan kekecewaannya berikutan keputusan hukuman tersebut. - AFP