PRK Gerik, Bugaya serentak pada 16 Januari

Iklan
PRK Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah akan diadakan serentak pada 16 Januari depan.

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah akan diadakan serentak pada 16 Januari depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, turut diadakan serentak adalah tarikh penamaan calon pada 4 Januari.

Iklan
Iklan

"Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 12 Januari 2021," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Menurutnya, tempoh berkempen yang ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam, 15 Januari.

Iklan

"Semua pihak terlibat diseru supaya mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan bagi memastikan PRK ini berjalan lancar di samping memastikan tiadanya kluster baharu Covid-19 wujud," katanya.

Mengulas lanjut mengenai PRK P054 Gerik, Abdul Ghani berkata, Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik akan dijadikan Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).

Iklan

"Bagi proses pilihan raya kecil ini, SPR telah melantik Pegawai Daerah Hulu Perak, Meor Shahibul Fadilah Zainuddin sebagai Pegawai Pengurus PRK Gerik dan dibantu oleh enam penolong pegawai pengurus," katanya.

Menurutnya, SPR juga bersetuju menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

"Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai oleh wakil polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding," katanya.

Beliau berkata, Parlimen Gerik mempunyai 23 pusat mengundi yang mengandungi 81 saluran.

"Lima pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tujuh tempat mengundi awal (saluran) akan digunakan," katanya.

Tambahnya, PRK Gerik dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM5.8juta.

Sementara itu, bagi DUN N66 Bugaya, SPR menggunakan Dewan Masyarakat Semporna sebagai PPC dan PPRU.

"Pegawai Daerah Semporna, Benedict Asmat dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK dan dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus," katanya.

Abdul Ghani berkata, satu pasukan PP-KPR ditubuhkan untuk memantau semua aktiviti kempen.

"Dun Bugaya mempunyai sebanyak sembilan buah pusat mengundi yang mengandungi 46 saluran.

"Dua pusat mengundi awal akan digunakan," katanya.

PRK DUN Bugaya dianggarkan menelan kos RM4.7 juta.

Dalam pada itu, SPR menggunakan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang telah digunakan pada PRN Sabah ke-12 dengan beberapa penambahbaikan.

"Semua aktiviti berkempen berbentuk ceramah, syarahan, kempen ziarah rumah ke rumah, walkabout dan pengedaran pamplet secara bersemuka adalah tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, calon adalah digalakkan berkempen menggunakan saluran media sosial.

"Calon dibenarkan untuk memasang banner dan bunting di dalam kawasan pilihan raya," katanya.

Tambahnya, petugas parti mahupun calon perlu mengelakkan pertembungan semasa pemasangan gegantung bagi mengekalkan penjarakan fizikal.

"Aktiviti berkempen mengunakan kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara adalah dibenarkan pada waktu yang munasabah.

"Namun ia tidak boleh menyebabkan berlaku perkumpulan atau perhimpunan penyokong," katanya.

Pada 16 November lalu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia di Raub, Pahang kerana sakit jantung.

Sementara itu, ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah pula dilaporkan meninggal dunia keesokan harinya kerana menderita sakit buah pinggang.