PUTRAJAYA - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh proklamasi darurat yang diisytiharkan di kawasan itu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh itu adalah sama seperti ketika SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Seolah-olah baru juga diterima surat (pemakluman) daripada Speaker. Maknanya kita ada tempoh 60 hari untuk melaksanakan tugas kita melaksanakan pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat urusan PRK Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah, di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 November telah mengisytiharkan proklamasi darurat di Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.
Proklamasi darurat itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang dilakukan selepas Seri Paduka Baginda memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat jemaah menteri berhubung perkara tersebut.
PRK Batu Sapi itu perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru, dan SPR sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 November, hari pengundian pada 5 Disember dan pengundian awal pada 1 Disember.
Ditanya mengenai kemungkinan proklamasi darurat akan diisytiharkan di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya bagi mengelakkan PRK di kedua-dua kawasan itu seperti di Parlimen Batu Sapi, Abdul Ghani berkata, SPR hanya melaksanakan tugas menjalankan pilihan raya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Seandainya pengisytiharan proklamasi darurat dibuat seperti di Batu Sapi, kita di peringkat SPR akan menurut kehendak perisytiharan yang dibuat sekiranya berlaku darurat di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya,” katanya.
Pada 24 November lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa pengisytiharan darurat sepertimana dilaksanakan di Parlimen Batu Sapi akan dipertimbang di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang bakal berdepan PRK, berikutan situasi semasa penularan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Bernama