KOTA KINABALU - Upah lumayan sehingga RM1,000 bagi setiap kali penghantaran dadah menyebabkan seorang penganggur sanggup menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di Likas.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi kelmarin, lelaki tempatan berusia 21 tahun itu akhirnya ditahan polis bersama syabu bernilai RM47,340 dalam satu serbuan berhampiran Kompleks Perikanan Likas, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melakukan risikan dan intipan terhadap suspek di kawasan itu.
"Lelaki itu dilihat berlegar-legar bersama satu beg kertas di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan terhadap beg kertas terbabit membawa kepada penemuan satu plastik berisi syabu seberat 1,052 gram yang dianggarkan bernilai RM47,340 disembunyikan di dalam bungkusan plastik teh Cina," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati, lelaki terbabit tidak bekerja dan dipercayai sebagai dalang kepada sindiket pengedaran dadah di kawasan itu.
"Suspek adalah penganggur dan sanggup menjadi dalang di Likas sejak tahun lalu demi mendapatkan duit dengan cara yang mudah.
"Suspek berperanan sebagai penghantar bekalan dadah kepada pembeli dan mendapat upah sekitar RM200 hingga RM1,000 bagi setiap kali penghantaran," katanya.
Habibi berkata lagi, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian saringan urin didapati negatif.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
"Suspek kini direman bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.